Ketua Pegawai Eksekutif Toyota Amerika Utara, Jim Lentz berkata, kemunculan baharu ber­kenaan sekurang-kurangnya membuktikan pengeluar kereta Jepun itu kini dalam proses untuk mereka bentuk semula model pen­ting Prius dalam beberapa tempoh dan dapat melihat keputusannya dalam masa terdekat ini.

Jelas beliau, generasi keempat Prius itu dijangka akan diumumkan sebelum hujung tahun ini, sama ada pada pameran kereta di Tokyo atau Los Angeles.

Tambahnya, model baharu tersebut akan muncul dengan penampilan yang lebih baik berbanding sebelum ini, di samping pengalaman pemanduan yang lebih hebat kerana mempunyai pusat graviti yang lebih rendah.

“Malah, model baharu itu akan menjadi model pertama yang akan menggunakan platform reka bentuk global baharu (TNGA) yang menyokong kebanyakan mo­del keluaran Toyota,” katanya.

Toyota dijangka akan memberikan Prius baharu penampilan yang lebih sporty bagi memastikan ia lebih mendapat perhatian dan menyingkirkan imej yang lapuk.

Selain itu, menurut laporan, keseluruhan penggayaan turut berubah yang mengakibatkan pembangunan terlewat selama enam bulan dan khabar angin mengatakan ia akan meminjam penggayaan dari konsep C-HR yang diperkenalkan pada Pameran Motor Paris tahun lalu.

Mengulas lanjut Lentz berkata, ciri yang paling penting dalam model baharu itu ialah penggunaan bahan api yang lebih baik dan berkemungkinan ia mampu untuk mengalahkan model semasa Prius.

Toyota juga telah mengurangkan pengeluaran untuk generasi semasa bagi Prius Plug-In hibrid sempena menunggu model baharu, manakala model Prius V dan Prius C diberikan nafas baharu pada tahun ini.