Presiden Toyota Motor, Akio Toyoda berkata, pengeluar nombor dua terbesar dunia tersebut perlu lebih agresif mengembangkan keupayaan dalam tek­nologi moden baharu bagi bersaing dengan pesaing terdekat.

Katanya, Toyota perlu berge­rak lebih pantas namun dalam masa yang sama sentiasa memperkukuhkan kekuatan sedia ada.

“Industri automotif sedang melalui perubahan besar dengan pelbagai isu dan idea yang boleh memberi impak kepada syarikat dalam masa terdekat.

“Kami telah pun melabur AS$9.08 bilion (RM38.63 bilion) setiap tahun bagi pembangunan dan penyelidikan, mengembangkan perbelanjaan modal (capex) dan membeli semua saham, namun semua itu mungkin tidak mencukupi. Atas sebab itulah kami sedang mempertimbangkan segala pilihan termasuk aktiviti M&A,” katanya semasa perjumpaan tahunan pemilik saham baru-baru ini.

Pengeluar kenderaan global telah mula mengembangkan peranan daripada sekadar membina kereta kepada menjadi penyedia perkhidmatan pengangkutan dengan meningkatkan bajet pembangunan dan penyelidikan di samping melabur dalam syarikat teknologi.

Toyota telah me­labur AS$1 bilion (RM4.25 bilion) dalam institut penyelidikan kecerdasan buatan dan telah memeterai kerjasama dengan Microsoft Corp. dan Uber Technologies.

Toyota juga bersikap lebih terbuka kepada pembekal termasuk syarikat teknologi, Nvidia Corp. bagi menghasilkan lebih banyak perisian bagi sistem kenderaan automatiknya. – REUTERS