Populariti Innova mendorong UMW Toyota sebagai pengedar eksklusif kenderaan Toyota di negara ini memperkenalkan varian tertinggi Toyota Innova generasi kedua iaitu Toyota Innova 2.0X.

MPV spesifikasi tertinggi ini dijual pada harga atas jalan tanpa insurans RM132,800, menjadikannya RM9,000 lebih mahal dari varian 2.0G. Sebagai perbandi­ngan, varian asas Innova 2.0E dijual pada harga RM107,800 untuk versi manual dan RM115,800 bagi versi transmisi automatik.

Model Innova 2.0X ini me­nerap­kan rekaan yang diasaskan dari konsep crossover, lain dari rupa MPV tradisional. Ia menampilkan kit badan baharu yang terdiri dari spoiler hadapan dan belakang, kemasan overfender pada kesemua ruang roda, kemasan berwarna hitam pada bahagian bawah, serta gril yang lebih gelap.

Kesemua varian Innova didatangkan standard dengan lampu dan pengelap cermin automatik, serta lampu follow-me-home. Semua kelengkapan dari varian 2.0G diberikan pada model 2.0X ini seperti sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin serta sistem pendingin hawa automatik.

Sebagai varian tertinggi, ia turut ditambah pelbagai lagi ke­lengkapan lebih premium antaranya lampu utama LED dengan fungsi larasan automatik yang menggantikan unit reflektor halogen, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, serta rim aloi 17-inci kemasan hitam dengan tayar 215/55R17 berbanding rim 16-inci dengan tayar 205/65R16 pada model 2.0G dan 2.0E.

Perubahan paling ketara ialah dua tempat duduk kapten pada barisan kedua, menjadikan 2.0X ini hanya boleh memuatkan tujuh-tempat duduk berbanding lapan yang lazimnya ada pada Innova.

Tempat duduk kapten ber­kenaan adalah sama seperti yang ditawarkan pada MPV premium yang lebih besar dan memberikan keselesaan pada tahap Kelas Perniagaan bersama pemegang cawan dan juga meja boleh lipat serta perehat tangan individu.

Model 2.0X ini turut menampilkan upholsteri balutan kulit berwarna hitam pada kesemua tempat duduk (varian lain menggunakan fabrik), bersama larasan berkuasa enam-hala bagi tempat duduk pemandu (kekal dengan larasan manual untuk penumpang hadapan).

Kelengkapan lain model 2.0X ini turut berkongsi bersama mo­del 2.0G termasuk kemasan ka­yuan berkilat dan “emas sutera” pada beberapa bahagian permukaan, sistem pendingin hawa automatik hadapan dan belakang, lampu suasana LED berwarna biru dua-zon, panel instrumen Optitron dengan paparan pelbagai-info TFT-LCD berwarna 4.2-inci, meja boleh lipat pada belakang tempat duduk, kamera undur dan sistem infotainmen DVD-AVX lapan-inci.

Daripada segi keselamatan, Innova dilengkapi tujuh beg udara, ABS,EBD,BA, VSC dan bantuan mula mendaki - standard untuk semua varian termasuk model asas 2.0E. Bahagian mekanikal tidak menampilkan apa-apa perubahan di mana model tertinggi ini kekal dijana enjin petrol 2.0 liter NA Dual VVT-i berkuasa 139 ps/183 Nm, digandingkan bersama transmisi automotik enam-kelajuan yang turut dilengkapkan dengan mode pemanduan Eco dan Power.

UMW Toyota kini turut menawarkan aksesori tambahan untuk Innova iaitu “Monitor Pandangan Panaromik” yang memberikan imej 360 darjah pada sekeliling kenderaan dan sudut atas. Menerusi sistem ini, empat kamera dipasang pada Innova, manakala imej­nya pula dipaparkan pada skrin DVD-AVX ba­gi membantu pemandu ketika memarkir. Ka­mera DVR atau dashcam (untuk me­ra­kam pe­man­du­an) dan juga filem penapis haba keselamatan turut ditawarkan sebagai pilihan.