Kenderaan utiliti sukan (SUV) Fortuner ini dipasang di kilang UMW Toyota Motor di Shah Alam sejak 2005, telah terjual lebih 20,000 buah.

Generasi kedua Fortuner yang dilancarkan ke pasaran Malaysia pada 5 Mei lalu, tampil dengan ciri-ciri dipertingkatkan, malah sekali pandang badannya nampak lebih tegap dan perkasa berbanding model terdahulu. Ramai juga memperkatakan reka bentuk ‘bumbung terapung’ dari­pada aras belakang, yang pantas mengimbas kepada Lexus RX.

Apa yang ketara ialah jurutera Toyota mengambil kira pelbagai maklum balas daripada pengguna, menjadikan SUV ini meme­nuhi banyak kehendak.

Secara peribadi, saya menguji ruangan kargonya untuk mengangkut basikal. Selepas kerusi tengah dan barisan ketiga dilipat, proses memasukkan basikal begitu mudah. Ini disebabkan lebar pintu belakang dan paras dek yang rendah. Ruang kargo ini saya beri lima bintang!

Terdapat dua varian Fortuner ditawarkan iaitu enjin diesel 2.4 liter VRZ yang merupakan enjin turbodiesel yang baharu dan Fortuner 2.7 SRZ berenjin petrol yang dikemaskan dengan sistem Dual VVT-i untuk mencapai maklum balas lebih baik dan kecekapan optimum.

Beza harga antara kedua­nya ialah RM13,000 iaitu varian 2.7 SRZ ditawarkan pada RM199,900. Selain jentera enjin, varian 2.7 liter ini dipasang dengan lampu hadapan projektor bi-LED dengan fungsi automatik, lampu siang LED, lampu kabus dan lampu belakang LED.

Meskipun menggunakan platform trak pikap, Fortuner tidak ada rasa pun sedemikian. Pemanduannya lancar dan ruang dalamannya adalah menyerupai kekemasan kereta sedan. Bahan-bahan yang digunakan pada papan pemuka melahirkan cita rasa kemewahan.

Menurut Toyota, ia berkait rapat dengan sentuhan Ketua Jurutera Eksekutif Hiroki Nakajima terhadap reka bentuk dalaman yang menyalurkan pengalaman bertahun-tahunnya dalam kereta sedan ke dalam Fortuner.

Dengan panjang 2,746 mili­meter, Fortuner sememangnya sesuai untuk keluarga seramai tujuh orang. Ia agak tinggi tetapi tidaklah sampai gayat sebaliknya menjamin pemandangan luas untuk pemandu dan tempat berpijak serta berpaut memudahkan keluar masuk kenderaan.

Ciri utama bagi kenderaan tiga barisan kerusi ialah pendin­gin hawa. Fortuner menyediakan cerombong pendingin hawa ke semua baris tempat duduk. Terdapat juga tiga soket 12V untuk mengecas bateri atau bermain gajet.

Daripada aspek hiburan, vari­an 2.7 liter menawarkan enam pembesar suara beserta sistem audio pemain DVD, USB/AUX/Bluetooth dan sistem pengena­lan suara. Untuk menonton filem, terdapat paparan 10.2 inci ditawarkan sebagai opsyen kepada pembeli.

Dibandingkan dengan SUV pesaing-pesaingnya, Fortuner merupakan termahal dalam segmennya iaitu RM186,900 bagi 2.4 VRZ dan RM199,900 bagi 2.7 SRZ bersama waranti lima tahun tanpa had perjalanan. Namun demikian, Toyota sentiasa menjadi penanda aras kepada pesaingnya dan harga bukan sesuatu isu besar kepada pelanggan setia.