Presiden UMW Toyota Motor, K. Ravindran berkata, jumlah kutipan yang lebih tinggi daripada jangkaan awal itu akan disalurkan kepada Jabatan Muzik, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka).

Menurutnya, Jabatan Muzik UPM akan menggunakan wang kutipan tersebut untuk memperkasa belia dengan meningkatkan kemahiran kognitif mereka di samping me­ningkatkan kesihatan mental, emosional dan sosial melalui aktiviti serta persembahan muzik.

Jelas beliau, Peka yang juga merupakan organisasi perlindung­an alam sekitar akan mengadakan Save Our Rain Forest Race iaitu aktiviti mendaki sejauh lima hingga 10 kilometer untuk menanam semula pelbagai jenis pokok bagi mewujudkan kesedaran pemuliharaan kepelbagaian bio negara.

“Nilai teras tanggungjawab sosial korporat UMW Toyota Motor sentiasa bersifat mementingkan rakyat walaupun kami terlibat dalam perkhidmatan dan pengedaran kenderaan.

“Kami sentiasa menyokong aktiviti bersifat komuniti dan sosial yang memberi tumpuan untuk memakmurkan masyarakat ke arah kehidupan lebih harmoni,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Toyota Classics adalah acara amal muzikal tahunan yang dianjurkan oleh UMW Toyota Motor dan Toyota Motor Asia Pacific Malaysia, bertujuan mengumpul dana bagi kebajikan dan organisasi yang berhak. Setakat ini, 65 pertubuhan amal dan projek komuniti telah mendapat manfaat melalui program tersebut.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah mencemar duli menyaksikan persembahan hebat daripada Royal Philharmonic Concert Orchestra yang berpangkalan di London menerusi beberapa karya muzik agung klasik daripada Beethoven hinggalah Mozart.

Antara yang turut hadir dalam majlis berkenaan termasuklah Du­ta Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa; Pesuruhjaya Tinggi British, Victoria Marguerite Treadell; Pengerusi UMW Toyota Motor, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman; Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama dan Penasihat Eksekutif Kanan Toyota Motor Asia Pasifik, Motonobu Takemoto.

Konduktor muzik hebat yang juga pemenang Anugerah Oscar, Anthony Weeden yang mengetuai Royal Philharmonic Concert Orchestra menyampaikan beberapa koleksi muzik hebat termasuk Midnight Summer Dream daripada Mendelssohn dan Romance for Violin & Ochestra daripada Tchaikovsky.

Pemain biola terkemuka, David Juritz turut memukau penonton yang memenuhi Dewan Filharmonik Petronas dengan persembahan menarik dan tersendiri.

Orkestra berkenaan yang dikenali menerusi persembahan muzik klasik inovatif sedang dalam rangka lawatan di enam buah bandar raya Asia dengan Malaysia merupakan destinasi kelima selepas Brunei dan Vietnam adalah destinasi terakhir selepas ini.

Dalam pada itu, Takeyama berkata, Toyota Motor Corporation akan terus membawakan persembahan terbaik muzik klasik ke rantau ini menerusi siri Toyota Classics sejajar dengan tema Music that Moves Lives.