UMW Toyota Motor Sdn. Bhd., berkata, Camry serba baharu yang dilancarkan Disember tahun lalu menerima 49.04 mata bagi Perlindungan Perlindungan Penghuni Dewasa (AOP), 22.68 mata untuk Perlindungan Penghuni Kanak-Kanak (COP) dan 19.75 mata untuk penilaian Teknologi Bantuan Keselamatan (SAT).

Pengedar kenderaan Toyota di Malaysia itu berkata, Camry serba baharu mencatatkan skor 91.47 mata bagi semua aspek pemarkahan termasuk pencegahan pemecahan yang berkesan, peringatan tali pinggang keledar, teknologi titik buta dan teknologi bantuan keselamatan yang maju sekali gus membolehkannya menerima penarafan lima bintang.

“Model generasi kelapan itu direka semula sepenuhnya sejak diperkenalkan di pasaran Malaysia pada 1990 dan kini varian Toyota Camry serba baharu tersedia dalam varian 2.5V.

“Ia dilengkapi dengan Sensor Keselamatan Toyota seperti sistem praperlanggaran, Lane Departure Alert (LDA), Steering Assist, Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dan Automatic High Beam (AHB),” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Pengumuman penarafan ASEAN NCAP lima bintang itu dibuat dalam satu majlis yang dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini.

Model Toyota Camry serba baharu yang dilancarkan pada Pertunjukan Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS 2018) November tahun lalu hadir dengan enjin empat silinder 2.5 liter 2AR-FE (184PS/235 Nm) dengan transmisi enam kelajuan automatik.

Bahagian luarannya menampilkan tema rekaan yang dinamik dan sporty dalam masa yang sama, dibangunkan khas untuk menarik minat golongan muda dan meninggalkan imej kereta sedan untuk golongan berumur pada model terdahulu.

Bahagian hadapan pula tampil dengan imej yang garang, terutama pada bumper, dihiasi dengan lampu utama Bi-LED serta lampu nyalaan siang tiga lapis memberikan imej kehadiran Camry kepada umum.

Didatangkan dalam lima warna pilihan iaitu Red Mica, Platinum White Pearl Mica, Silver Metallic, ­Graphite ­Metallic dan Burning Black, ia ditawarkan pada harga RM189,900 atas jalan tanpa ­insurans.