Projek membangunkan C-HR ini bermula sejak enam tahun lepas dan ia merupakan model kedua Toyota yang menggunakan TNGA C-platform selepas Prius. Dengan dimensi 4,360 mm panjang dan 1,795 mm le­bar, di mana C-HR adalah 66 mm lebih panjang dan 23 mm lebih lebar berbanding Honda HR-V.

Bagi jarak rodanya pula, C-HR tampil dengan ukuran 2,640 mm iaitu 30 mm lebih panjang berbanding HR-V dan 70 mm lebih panjang daripada Mazda CX-3. Bukan itu sahaja, C-HR yang seberat 1,405 kg, iaitu 138 kg lebih berat daripada HR-V dan lebih 194 kg berban­ding CX-3.

Untuk pasaran Malaysia, C-HR diperkenalkan hanya dalam satu varian iaitu enjin 1.8 liter petrol yang digandingkan bersama transmisi Sequential Shiftmatic CVT 7-kelajuan. Dan walaupun telah berada di pasaran sejak Mac lalu, orang ramai masih teruja terhadapnya, hinggakan ketika penulis berada di dalam kereta, ada yang menyen­tuh kereta!

Enjin 1.8 liter Sebaris, 16 Injap DOHC dengan Dual VVT-I mampu menghamburkan kuasa maksimum 138 pada 6,400 rpm dan kuasa kilas 171 Nm pada 4,000 rpm. Kuasanya disalurkan ke roda hadapan secara automatik CVT dengan mod manual Sequential Shiftmatic tujuh-kelajuan. Masa akan menentukan UMW Toyota untuk memperkenalkan atau tidak varian 1.2 liter turbo dan 1.8 liter hibrid.

Rekaan dalaman

Rekaan dalaman C-HR menampilkan konsep yang sama sekali berbeza berbanding model-model Toyota yang sebelumnya; ia menggabungkan penggayaan moden dengan fungsi termaju.

Bahagian pemandu menerapkan perincian inovatif dan teknologi intuitif dengan meter Optitron 4.2-inci berwarna dengan Paparan Pelbagai Maklumat (MID).

Bagi yang gemar memandu, turut tersedia ialah ciri G-monitor yang akan memaparkan kadar daya-G ketika kenderaan berada dalam selekoh, memecut dan mengurangkan kelajuan.

Rekaan luar

Inilah aspek paling penting C-HR, yang tampil dengan gaya unik dan futuristik yang lebih menyerlah berbanding model persaingannya. Berlalu sudah rekaan membosankan Vios dan Camry! Garisan bumbung yang lebih pandai dengan pembentukan yang lebih berotot memberikannya perwatakan yang berbeza.

Tombol pintu belakang yang tersembunyi juga menambah kelainan pada model ini walau pun konsep ini turut dibawakan oleh HR-V.

Ditambahkan dengan lampu utama projektor halogen automatik dengan rekaan yang melunjur ke belakang bersama fungsi Follow Me Home, lampu nyalaan siang LED dan lampu kabus hadapan dengan unit halogen. Rekaan rim aloi lima-jejari kelihatan lebih ringkas dengan pilihan saiz 17-inci yang dibaluti tayar 215/60R17.

Aspek yang diberi penekanan ialah bahagian belakang C-HR yang lebih menyerlah, umpama 3D dengan lampu ala boomerang dengan spoiler dan bampar yang agak menonjol bersama kemasan hitam pada bampar bawah, walau pun rekaannya sedikit nampak sarat. Namun ia masih senada dengan penampilan di bahagian hadapan.

Ciri lain

Antara elemen yang ditam­pilkan ialah sistem ma­suk tanpa kunci, butang penghidup enjin, lampu bawah pintu, tempat duduk balutan kulit bercorak, tempat duduk dengan larasan sokongan belakang elektrik (larasan sandar dan ke hadapan masih lagi manual), lampu serta pengelap cermin automatik, skrin informasi berwarna 4.2-inci, kawalan pendingin hawa dwi-zon dan kamera undur.

Selain itu, ia turut didatangkan dengan paparan sesentuh tujuh-inci dengan pemain DVD, sambungan telefon pintar, pengesan suara, capaian Internet, Wifi, HDMI, USB, Bluetooth, dan juga enam-pembesar suara.

Bahagian kargo bagi C-HR agak memuaskan dengan kapasiti 388 liter. Malahan tempat duduk belakang yang boleh dibaringkan dengan nisbah 60:40 banyak membantu memberikan ruang yang lebih.

Keselamatan

Elemen keselamatan yang dipasang ialah tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu) bersama Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, ABS dengan EBD dan bantuan Brek, paparan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, sistem pemantauan tekanan tayar dan butang tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

Pada harga RM150,000 (termasuk SST dan tanpa insurans), C-HR menawarkan pakej gaya dan prestasi yang mantap dan reka bentuk yang futuristik. Berbaloi!