UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMWT) dalam kenyataannya berkata, Alphard ditawarkan dalam dua varian iaitu Alphard 3.5 Executive Lounge dan Alphard 3.5 yang masing-masing menawarkan tahap kemasan Premium Luxury serta Advanced Luxury.

Jelasnya, Kedua-dua varian kini dilengkapi enjin baharu 2GR-FKS 3.5 liter V6 yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan kawalan elektro­nik.

“Enjin baharu yang lebih berkuasa ini dilengkapi sistem suntikan D-4S yang memberikan penyaluran minyak optimum dalam setiap keadaan. Sistem Variable Valve Timing-intelligent Wide (VVT-iW) membekalkan kuasa kilas tinggi daripada julat rpm terendah hingga yang ter­tinggi.

“Beberapa ciri kejuruteraan lain seperti sistem Berhenti dan Mula Automatik turut memberikan lebih penjimatan minyak. Ia akan kekal aktif selagi pemandu meletakkan kaki pada brek dan sebaik brek dilepaskan, enjin akan dihidupkan semula secara automatik,” katanya di sini baru-baru ini.

Tambah UMWT, bahagian tengah gril kini lebih ke hadapan bagi memberi penekanan terhadap struktur tiga dimensi rekaan melintang daripada bahagian logo hingga ke bahagian lampu dan garis badan memberikan penampilan lebih dinamik di samping menyerlahkan ketelitian model tersebut.

Menurutnya, Alphard 2018 menggunakan rim aluminium aloi 18 inci dengan rekaan dan penggayaan baru yang lebih sporty.

Katanya lagi, pelanggan boleh memilih lima warna luaran berbeza termasuk satu warna baharu Graphite Metallic dan empat warna sedia ada iaitu Luxury White Pearl CS, Burning Black CS, White Pearl CS dan hitam.

“Bahagian dalaman pula menggunakan bahan berkualiti serta pemasangan yang teliti. Bahagian meletak tangan pula menggunakan material kulit sintetik dengan jahitan untuk memberikan rasa sentuhan yang lebih eksklusif.

“Ciri baharu lain bagi model 2018 adalah pad pengecas tanpa wayar dengan sistem Qi dan Digital Full Display Mirror yang memberikan pandangan yang lebih luas dan jelas. Selain itu, aspek keselamatan turut dipertingkat melalui Sistem Pemantauan Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) manakala skrin pandangan panorama (PVM) ditawarkan sebagai pilihan,” ujarnya.