Menurut Bloomberg yang memetik kenyataan Apple, syarikat itu telah mengeluarkan dua model tersebut daripada kedai dalam talian miliknya dan turut berbuat demikian di semua kedai yang menjual Nano dan Shuffle.

Jelas kenyataan itu, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor selain mahu memberi fokus kepada model iPod paling laris iaitu iPod Touch.

“Touch adalah jualan tertinggi untuk model iPod berbanding Nano dan Shuffle. Kami telah meningkatkan kapasiti memori dalaman kepada 32 gigabit (GB) dan 128 GB, masing-masing dijual pada harga AS$199 (RM852.46) dan AS$299 (RM1,280.83) sebuah.

“Berikutan itu, pengeluaran iPod Touch versi 16 GB dan 64 GB akan dihentikan,” jelasnya di sini hari ini.

IPod pertama kali dikeluarkan pada 2001 mampu memuatkan hampir 1,000 buah lagu manakala Shuffle yang diperkenalkan pada 2005 mempunyai fungsi muat naik seperti pendrive.

Sementara itu, iPod Nano diperkenal setahun selepas Shuffle bagi menggantikan iPod Mini dengan beberapa penambahbaikan termasuk rekaan sebelum iPhone dikeluarkan.

Ciri-ciri baharu tidak pernah ditambah pada Nano sejak 2012 manakala Shuffle tidak direka se­mula bagi menjadikannya lebih baik sejak 2010 dan kali terakhir dua model tersebut dikemas kini adalah pada 2015 apabila Apple memperkenalkan warna baharu. – AGENSI