Rancangan itu merupakan sebahagian daripada strategi perniagaan baharu lima tahun yang diumumkan Toshiba pada Khamis, yang turut melibatkan 7,000 pemberhentian pekerja, atau lima peratus daripada tenaga kerjanya dalam tempoh lima tahun.

Saham syarikat itu melonjak 13.7 peratus kepada paras ter­tinggi dalam tempoh dua tahun selepas pengumuman tersebut, turut dibantu oleh langkah untuk membeli semula sehingga 40 peratus sahamnya sendiri. Saham syarikat itu ditutup 12.7 peratus lebih tinggi.

Toshiba telah mencuba untuk mendapatkan semula kepercayaan pasaran selepas skandal perakaunan pada 2015 yang mendedahkan penyelewengan yang meluas dalam konglomerat tersebut selama bertahun-tahun lamanya.

Skandal itu memaksa Toshiba melihat semula kos tinggi berlebihan di unit nuklear Westinghouse, AS yang kini muflis, selain menjual unit cip memorinya awal tahun ini kepada konsortium yang diketuai oleh firma ekuiti swasta AS, Bain Capital.

“Terdapat laporan mengenai kemungkinan penjualan perniagaan yang tidak berprestasi dan pemotongan pekerjaan sebelum ini, jadi tindakan tersebut seperti telah dijangka pada satu ketika.

“Pengumuman pembelian semula saham berjumlah sehingga 40 peratus daripada saham terkumpul juga adalah sangat positif,” kata Ketua Eksekutif Investrust, Hiroyuki Fukunaga, sebuah firma penasihat kewangan.

Toshiba telah menjanjikan pembelian semula saham bernilai 700 bilion yen (RM25.6 bilion) pada awal tahun ini, namun masa yang ditetapkan masih belum diputuskan.

Pengumuman Toshiba pada Khamis disusuli ramalan keuntungan yang lebih lemah, syarikat itu kini menjangkakan keuntungan operasi tahun penuh berjumlah 60 bilion yen (RM2.2 bilion) berbanding anggaran sebelumnya 70 bilion yen (RM2.5 bilion). – REUTERS