Pengarah Eksekutifnya, Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata permintaan terhadap sarung tangan nitril dan getah di China semakin baik berikutan peningkatan taraf hidup, kuasa beli yang tinggi dan jangka hayat penduduk yang meningkat.

“Permintaan terhadap sarung tangan perubatan atau sarung tangan pakai buang ternyata meningkat. Penggunaannya masih amat rendah berbanding negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai prestasi kewangan suku kedua berakhir 28 Feb, 2019 syarikat itu di sini hari ini.

Top Glove mempunyai 40 kilang, 35 daripadanya terletak di Malaysia, empat di Thailand dan satu lagi di China.

Pada masa ini, eksport Top Glove ke China menyumbang kira-kira empat hingga lima peratus daripada perolehan jualan kumpulan itu.

Lim berkata kumpulan itu telah menyemak semula harga jualan sarung tangan getah semula jadi sebanyak tiga kali sejak tiga bulan lepas berikutan harga getah asli yang kukuh. - BERNAMA