Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai berkata, pembelian itu menjadikan Top Glove sebagai pengeluar sarung tangan pembedahan terbesar di dunia.

Jelas beliau, syarikat telah memasuki perjanjian pembe­lian dengan Adventa Capital pada Januari lalu dan kini dalam fasa terakhir pengambilalihan.

“Cadangan pengambilalihan ini selari dengan strategi pertumbuhan dan pengembangan syarikat. Apabila selesai kelak Top Glove dapat menyediakan perkhidmatan dengan kos yang lebih efektif dan berkualiti dalam pelbagai kategori pasaran sarung tangan.

“Selain itu, Top Glove juga akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pene­raju pasaran dengan memanfaatkan teknologi Aspion serta komited untuk melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D). Profil kumpulan juga semakin kukuh melalui gabungan kepakaran, pengalaman, pengurusan, pelanggan dan pembekal kedua-dua buah syarikat,” katanya di sini hari ini.

Tambah Wee Chai, RM1.233 bilion akan dibayar secara tunai sementara bakinya dibayar menerusi terbitan saham baharu Top Glove sebanyak 20.505 juta.

Katanya, pengambilalihan ter­sebut merupakan yang terbesar pernah dilakukan syarikat setakat ini.

“Ini baru permulaan kerana Top Glove baharu 27 tahun ditubuhkan. Sebagai syarikat yang muda kami masih dalam proses pengembangan.

“Kami akan menilai lebih banyak potensi pengambilalihan pada masa depan dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam industri sarung tangan dan kesihatan,” kata beliau.

Top Glove merupakan pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia dan mempunyai 34 buah kilang yang terletak di Malaysia, Thailand dan China dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 51.9 bilion pasang sarung tangan setahun.