“MAHB kini memahami apa yang kami boleh lakukan. Sudah tentu ini saat yang menarik untuk pengunjung dan rakyat Malaysia. Ini juga akan merancakkan pertumbuhan ekonomi dan menyediakan lebih banyak pekerjaan.

“Oleh itu, marilah berharap ‘perang’ ini tamat dan kita boleh memenanginya bersama-sama, MAHB dan AirAsia. Dan sudah tentu rakyat adalah pemenang utama,” katanya dalam akaun Twitter di sini hari ini.

Dalam status itu juga, Tony memuat naik gambar pertemuannya dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin.

Minggu lalu, Tony bertemu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan menyatakan syarikat penerbangan tambang murah itu dipaksa berpindah tetapi dinafikan oleh MAHB.

Sebelum ini, AirAsia mengumumkan sanggup melabur RM20 juta untuk menaik taraf T2 KKIA sekiranya dibenarkan kembali beroperasi di situ, selari dengan rancangan AirAsia X membuka pelbagai laluan baharu dari Kota Kinabalu.

Raja Azmi dalam kenyataan balasnya kelmarin berkata, Air­Asia memperoleh faedah kira-kira RM376 juta hasil daripada pelbagai program insentif yang disediakan oleh syarikat pengendali lapangan terbang tersebut dan menyokong pertumbuhan pengembaraan kos rendah menerusi pelbagai program sejak 2002.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat pula berkata, AirAsia bersedia membiayai kos pengubahsuai­an Terminal 2 KKIA yang mana dakwanya MAHB mengabaikan untuk diselenggara atau menaik taraf apabila MAHB memutuskan untuk memindahkan AirAsia ke T1.

Menurut Riad juga, tiada laya­nan istimewa diberikan kepada AirAsia terhadap tiga skim insentif berkenaan (ARP, Program Insentif Syarikat Penerbangan (1) dan Program Insentif Syarikat Penerbangan (11)), kerana ia juga ditawarkan kepada semua syarikat penerbangan, bukan sahaja AirAsia.

Semalam, MAHB menjelaskan, AirAsia memilih untuk mengambil kenyataan MAHB sebelum ini di luar konteks dengan mengatakan pengendali lapangan terbang itu menjadikan pertumbuhan negatif sebagai punca syarikat penerbangan itu berpindah ke T1.

“Data jelas menunjukkan bahawa selepas penyatuan operasi, terdapat pertumbuhan trafik yang besar di KKIA secara keseluruhan, begitu juga kepada kumpulan Air­Asia, justeru menyumbang kepada peningkatan trafik pelancong untuk Sabah,” jelas MAHB.