Menurut TNB, perjanjian itu berkuat kuasa untuk tempoh lima tahun yang bertindak sebagai pemangkin bagi kemajuan dan aktivi­ti penyelidikan berkaitan tenaga diperbaharui dan kecekapan tenaga elektrik di universiti tersebut.

Jelasnya, ia seterusnya berupaya menjadikan kampus UTM sebagai makmal `hidup’ melalui program aktiviti penyelidikan termaju untuk melahirkan lebih ramai penyelidik dan tenaga pakar tempatan dalam bidang berkenaan.

“Selaras dengan program inisia­tif pertumbuhan universiti tempatan, kerjasama ini membuktikan keyakinan universiti terhadap kepakaran dan kemampuan TNBES khasnya dan TNB amnya.

“Ia diharapkan dapat memberi impak positif yang secara tidak langsung memberi panduan kepada universiti lain mengenai kerjasama universiti-industri dalam melestarikan industri tenaga hijau dalam menjalani kehidupan yang lebih baik bagi generasi masa depan,” jelasnya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Memorandum tersebut ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman dan Pengarah Urusan TNBES, Dr. Ir. Ahmad Jaafar Abd. Hamid.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Ros­lan Abd. Rahman; Pengarah Kerja UTM, Prof. Dr. Abdul Latif Saleh dan Profesor di Fakulti kejuruteraan Elektrik UTM, Prof. Dr. Sevia Mahdaliza Idrus.

Perjanjian itu secara tidak langsung memberi manfaat kepada UTM dalam mengoptimumkan kos tenaga elektrik dan menjana tenaga elektrik sendiri.

Antara potensi projek yang dibangunkan termasuklah projek EE melalui Kontrak Prestasi Tenaga (EPC) yang melibatkan LED lampu retrofit dan pendingin hawa di enam bangunan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) iaitu Pusat Pengajian Islam, Fakulti Geoinfomasi dan Hartanah, Fakulti Pengurusan, Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik.

Dalam masa sama, ia juga membabitkan pemasangan sistem tenaga boleh diperbaharui dan unit pendingin hawa cekap tenaga untuk Masjid Sultan Ismail UTM dan pelaksanaan sistem Bangunan Fotovoltaik Bersepadu (BIPV) menggunakan Skim Net Tenaga Permeteran (NEM) di Pusat Makmal Penyelidikan Universiti-Industri dan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS).