Menurut TNB, PPA di antara TNB dan YTL yang dimeterai pada 31 Mac 1993 sudah berakhir sejak 2015.

Jelas syarikat itu, Suruhanjaya Tenaga telah mengeluarkan surat anugerah (LOA) bertarikh 20 April lalu meminta YTL untuk meneruskan operasi di Paka, Terengganu bagi tempoh selama tiga tahun dan 10 bulan.

Jelasnya, tarikh baharu operasi komersial bagi loji janakuasa itu pada 1 September 2017.

Jelas syarikat itu lagi, LLA baharu tersebut akan menggantikan syarat-syarat perjanjian pajakan tanah asal bertarikh 30 Julai 1993 di antara TNB dan YTL.

“LLA ini seterusnya akan mentadbir pajakan sebahagian tanah TNB di Paka, Terengganu yang digunakan oleh YTL untuk pengembangan dan menamatkan stesen janakuasa selepas itu.

“Ia memberi hak dan tanggungjawab kepada pihak berkaitan untuk penjanaan dan penjualan tenaga elektrik bagi YTL serta membolehkan TNB menjana kapasiti sehingga 585 megawatt,” jelasnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

Tambah TNB, LLA dan PPA baharu itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan pegangan saham utamanya, malah akan memberi kesan yang neutral kepada pendapatan TNB sepanjang tempoh perjanjian tersebut.

Tiada pengarah, pemegang saham utama syarikat atau orang berkaitan dengan mereka mempunyai apa-apa kepenti­ngan secara langsung atau tidak langsung dalam LLA dan PPA baharu itu, jelasnya.