-
 

Ini menjadi petanda baik bagi industri bekalan elektrik (ESI), yang kini bergelut de­ngan peningkatan harga arang batu global memandangkan akhirnya, sasaran baharu ini mungkin membolehkan tarif ditetapkan pada kadar yang lebih stabil pada masa depan, menurut penganalisis.

Sebanyak 53 peratus daripada tenaga elektrik Malaysia dijana oleh arang batu, 42 peratus oleh gas asli dan bakinya oleh hidro dan tenaga boleh diperbaharui.

Harga semasa arang batu bergerak melebihi AS$100 (RM417) satu tan, meningkat lebih 100 peratus selepas mencecah paras terendah dalam tempoh 10 tahun pada 2016 (di bawah AS$50 (RM218) satu tan).

Peningkatan sejak Julai le­pas telah menjejaskan kos penjanaan ESI kerana arang batu diimport 100 peratus, dengan lebih 60 peratus dibeli dari Indonesia dan bakinya dari Australia, Afrika Selatan dan Rusia.

“Permintaan arang batu bagi dua tahun akan datang dijangka kekal stabil pada sekitar paras semasa,” kata Pakar Ekonomi Tenaga Kanan di ABN Amro, Hans van Cleef.

“Walaupun laporan beri­ta menunjukkan bahawa per­mintaan arang batu akan me­­ningkat dalam tempoh ter­­dekat, namun realitinya permin­taan itu kekal stabil bagi ta­hun-tahun akan datang,” katanya.

Bagi menghadapi cabaran berkenaan, industri sebenarnya telah bersedia dengan mengambil langkah beberapa tahun ke hadapan menerusi kecekapan penjanaan tenaga yang lebih baik melalui loji janakuasa arang batu.

Semua loji janakuasa arang batu baharu kini menggunakan teknologi ultra-supercritical (USC) yang membakar arang batu dalam kuantiti yang lebih kecil namun menjana lebih tenaga, serta mematuhi piawai­an pelepasan.

Manjung 4 dengan 1,000 mW milik Tenaga Nasional Bhd., yang memulakan operasi pada 2015, merupakan loji janakuasa arang batu USC pertama di Asia Tenggara.

Ia boleh menghasilkan elek­trik yang mencukupi untuk dua juta rumah dengan pe­ngurangan tiga peratus penggunaan arang batu.

Melangkah ke hadapan, kerajaan telah menyediakan beberapa mekanisme untuk meningkatkan sumbangan tenaga boleh diperbaharui da­lam penjanaan kuasa.

Ini termasuk Skim Pemete­ran Tenaga Bersih (NEM), loji solar berskala besar (LSS), Skim Pembiayaan Sukuk Hijau dan mekanisme Tarif Galakan.

TNB, syarikat utiliti nasional komited untuk menyokong agenda tenaga boleh diperbaharui kerajaan.

Sebagai sebahagian daripada Pelan Strategik 10 tahunnya, TNB bercita-cita untuk menjadi peneraju ASEAN dalam sektor tenaga boleh diperbaharui ketika permintaan terhadap tenaga hijau melonjak.

Syarikat itu telah memulakan LSS terbesar di negara ini melalui projek 50 megawatt (mW) di Kuala Langat, Sela­ngor dan beberapa usaha sama berkaitan stesen janakuasa biomas dan biogas.

Usaha terbaru TNB adalah melalui anak syarikat tenaga boleh diperbaharuinya yang mana syarikat itu merancang untuk menawarkan pembia­yaan pakej penjanaan kendiri bagi panel solar fotovoltan (PV) kepada pelanggan kediaman menjelang akhir tahun ini.

Pakej terbabit telah ditawarkan kepada pelanggan komersial dan industri sebelum ini.

Tumpuan jangka pendek segera kerajaan adalah untuk meneroka projek yang boleh diperbaharui berskala besar yang berdaya maju di bawah tarif yang sama seperti loji ber­asaskan bahan api fosil.

Ini penting untuk menge­kalkan harga yang rendah dalam memastikan kemam­puan tarif elektrik.

Melalui dorongan yang kuat oleh MESTECC serta sokongan kukuh TNB dan industri, negara ini sedang bergerak dalam keadaan baik ke arah meme­nuhi janji kepada Konven­syen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu me­ngenai Perubahan Iklim untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau daripada KDNK sebanyak 45 peratus menjelang 2030.– BERNAMA