Sekian lama istilah ‘ketidaktentuan’ sentiasa menjadi igauan realiti dalam pasaran kewangan negara, apatah lagi kedudukan nilai mata wang ringgit yang berada di paras yang tidak sepatutnya akibat permainan spekulasi dan sentimen melampau.

Pada separuh kedua 2016, bursa saham negara mencatat kenaikan tetapi merudum sejurus Donald Trump diumumkan pemenang pilihan raya Presiden Amerika Syarikat. Kedua-dua FBM KLCI dan Indeks Emas FBM, masing-masingnya menyusut 0.75 peratus dan 0.55 peratus.

Malah, ketidaktentuan belum tentu boleh kita padamkan bagi tahun ini. Tetapi berdasarkan pandangan sebilangan besar penganalisis ekonomi tempatan, trend pertumbuhan tetap ada, walaupun lemah.

Ini rata-ratanya berpendapat ekonomi global masih berdepan dengan cabaran yang serupa se­perti yang dibebani tahun-tahun sebelum ini. Isu seperti ‘pertempuran’ blok perdagangan, mata wang sehinggalah kepada perang fizikal yang pantas mempengaruhi sentimen pelabur.

Namun, penganalisis ekonomi mengenal pasti beberapa syarikat yang telah mempamerkan prestasi baik dan diyakini akan terus berkembang bagi tahun 2017. Antaranya ialah Gas Malaysia Bhd., Petronas Chemical Group Bhd.; MRCB, Gamuda, Genting Bhd. dan Inari Amertron Bhd.

Paling teratas dalam analisis tersebut ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB), berdasarkan penilaian yang menambat hati, ke­stabilan perolehan dan berpotensi membayar dividen lebih tinggi.

Ketua Penyelidik Maybank Investment Bank, Wong Chew Hann memperakui saham TNB kekal sebagai pilihan utama mereka dengan sasaran harga RM16.40 sesaham berdasarkan penilaian aliran tunai diskaun (DCF).

“Perkembangan mengenai peraturan dijangka menghiasi berita TNB tahun ini tetapi ia tidak mungkin memberi impak terhadap aspek keuntungan, itu pandangan kami,’’ kata beliau.

Sentimen serupa disuarakan oleh Ketua Penyelidik, RHB Research Institute Sdn. Bhd., Alexander Chia.

“Kami menyukai TNB kerana perolehan bertahannya, nilai pasaran besar dan kecairan saham yang tinggi.

“Kami juga menjangka TNB secara perlahan-lahan dapat meraih kembali peluang dalam perniagaan penjanaan tenaga selepas 2016. Sasaran kami ialah RM18.60 sesaham,’’ ujarnya.

Tahun lalu, TNB menarik diri daripada konsortium merangkumi SIPP Energy Sdn. Bhd, milik Sultan Johor dan gergasi tenaga, YTL Power International Bhd. yang dianugerah kerajaan loji janakuasa Projek 4A berkapasiti 1,100mW hingga 1,400mW.

Begitu juga Ketua Penyelidik Alliance DBS Research Sdn. Bhd., Bernard Ching yang menyakini TNB akan menerima manfaat daripada pertumbuhan berterusan permintaan ke atas tenaga, didorong oleh masa depan ekonomi negara yang stabil, secara relatifnya.

“Kapasiti penjanaan baharu TNB akan melonjakkan keupayaannya sebanyak 30 peratus menjelang 2019. Pemangkin berjangka pendek dijangka wujud daripada pembayaran dividen yang lebih tinggi bagi tahun kewangan 2017.

“Ini disebabkan pendekatan baharu syarikat yang melaksanakan dasar pembayaran dividen baharu antara 30 peratus hingga 50 peratus, berdasarkan peroleh­an teras,’’ ujarnya.

Berdasarkan prestasi separuh kedua 2016, saham TNB menca­tatkan kenaikan 0.16 peratus kepada RM13.90. Menurut kaji selidik Bloomberg, sebanyak 75 peratus firma penyelidikan saham menyarankan ‘Beli’ terhadap saham TNB dengan purata harga sasaran sebanyak RM16 sesaham.

TNB mencatat peningkatan pendapatan sebanyak 5.3 peratus kepada RM11.24 bilion pada suku pertama tahun kewangan 2017 berakhir 30 November lalu, berbanding RM10.68 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Syarikat utiliti ini terus me­labur dalam perbelanjaan modal (capex) dengan tiga projek penjanaan sedang dilaksanakan dan dijadualkan siap antara tahun ini hingga 2019, dengan pelaburan capex bagi projek-projek berke­naan mewakili 45.4 peratus daripada keseluruhan pelaburan perbelanjaan modal TNB yang berjumlah RM2.07 bilion.