Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd. berkata, percubaan menggunakan rumusan mudah alih bagi pengurusan pembinaan kumpulan, pencawang, operasi voltan rendah dan pembaikan dijangka dilaksanakan pada suku kedua 2018.

“Kumpulan akan mengguna pakai teknologi baharu bagi operasi grid. Melalui pendekatan ini, TNB dapat menambah baik pengurusan aset dan pada masa sama meluaskan penggunaan rumusan mudah alih,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azman berkata, kumpulan akan terus meneroka potensi pengambil­alihan aset yang boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan angin di peringkat global.

“Kami telah terlibat secara aktif dengan bidaan tenaga hijau bagi aset boleh diperbaharui di peringkat antarabangsa sejak 2016,” katanya.

Sementara itu Azman berkata, TNB akan memanfaatkan teknologi, menawarkan perkhidmatan relevan berkaitan tenaga serta menambah baik kecekapan bagi me­ning­katkan pengalaman pelanggan dan keuntungan domestik pada masa depan.

Jelasnya, aktiviti kumpulan sentiasa dipertingkat melalui pelbagai medium antaranya teknologi dan digital bagi mencapai sasaran berkenaan.

“Kumpulan turut mengu­kuhkan pusat hu­bungan sebagai se­bahagian daripada usaha untuk memberi khidmat kepada para pe­langgan yang jauh selain bekerjasama erat da­lam kala­ngan kum­pulan TNB dan pelbagai pihak berkepentingan untuk menyediakan perkhidmatan berkaitan tenaga.

“Perkhidmatan ini dijangka memperbaiki keuntungan domestik TNB dan mengukuhkan perkhidmatan pelanggan apabila pemisahan entiti khidmat pelanggan pada 2018,” ujarnya.