Azman Mohd.
AZMAN MOHD.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd. berkata, seba­nyak RM5.4 bilion daripada capex tersebut adalah untuk dua projek jana kuasa berjumlah 3,000 me­gawatt (MW) dan satu daripada­nya, Janamanjung 5 dengan kapasiti 1,000MW beroperasi pada 28 September lalu.

Katanya, pelaburan capex itu dibuat bagi memastikan margin simpanan yang mencukupi sejajar dengan matlamat negara menjadi negara berpendapatan tinggi selepas 2020 dan secara tidak langsung memperkukuhkan imbangan tunai kumpulan dengan aset asas kumpulan me­ningkat kepada RM142.01 bilion setakat 31 Ogos 2017.

“TNB secara berterusan akan mengeluarkan sejumlah per­belanjaan modal bagi menjamin bekalan elektrik yang cekap, berdaya harap dan selamat.

“Sehubungan itu, Index Gangguan 64.2 minit bagi setiap pe­langgan pada 2013 telah menurun kepada 50.2 tahun ini, sekali gus menunjukkan peningkatan yang ketara dari segi daya harap bekalan dan setanding dengan negara-negara maju yang lain,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2017, TNB mencatat penurunan keuntungan selepas cukai (PAT) seba­nyak 5.6 peratus kepada RM6.91 bilion berban­ding RM7.32 bilion bagi tempoh sama tahun se­belumnya terutama kepada peningkatan kos kewangan dan cukai.

Kos kewangan pula meningkat 40.1 peratus berbanding tahun lalu disebabkan faedah yang dibayar kepada kerajaan mengikut Dana Simpanan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) bernilai RM130 juta dan faedah program sukuk yang terakru berjumlah RM100 juta.

Peningkatan cukai terutama berpunca daripada ke­­naikan perbelanjaan cukai tertunda turut memberi impak kepada PAT manakala dari segi permintaan unit elektrik bagi tahun kewa­ngan 2017 hanya mencatat kenaikan satu peratus.

Menurut Azman, pelaksanaan meka­nisme Kawal Selia Ber­asaskan Insentif (IBR) oleh kerajaan pada Januari 2014 memberi lebih kepastian ke atas pendapatan TNB dalam perniagaan yang dikawal selia.

Katanya, PAT daripada perniagaan dikawal selia di bawah rangka kerja IBR yang melibatkan Penghantaran dan Pembahagian berjumlah RM4.5 bilion bagi tahun ini dan ia membolehkan syarikat berada dalam kedudukan yang lebih kukuh dan dapat berkongsi faedah dengan para pelanggan dan pemegang saham melalui rebat ICPT dan dividen.

“Bagi tempoh kawal selia pertama, kami telah memberi RM4.3 bilion kepada sembilan juta pe­langgan kami dalam bentuk rebat sejak Mac 2015, hasil penjimatan kos penjanaan melalui meka­nisme IBR,” katanya.

Beliau berkata, TNB menjangkakan pertumbuhan unit permintaan elektrik lebih stabil dan dari segi pelaksanaan IBR pula, ia membolehkan jangkaan pendapatan lebih baik untuk TNB berikutan pengurangan risiko bahan api.