GSPARX adalah antara syarikat pelaburan pertama di Malaysia yang menawarkan penyelesaian sifar perbelanjaan modal (capex) untuk pemasangan pa­nel PV.

GSPARX berperanan sebagai pelabur buat pemilik bangunan komersial dan perindustrian dan kemudian mereka hanya perlu membayar jumlah solar yang dijana secara bulanan berdasarkan kadar tarif yang telah dipersetujui.

“GSPARX berhasrat untuk menawarkan sebanyak 1,500 megawat (mW) ‘self-generation’ untuk pelaburan solar PV menjelang 2025.

“Aliran pendapatannya da­tang daripada jualan tenaga yang dihasilkan oleh solar PV yang digunakan oleh pelanggan pada harga dipersetujui oleh kedua-dua pi­hak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

GSPARX telah dilancarkan sempena Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko (IGEM) 2018 oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Usaha Niaga TNB, Datuk Nor Azman Mufti dan Ketua GSPARX, Ir. Mohd. Yusrizal Mohd. Yusof.

GSPARX akan menawarkan pakej untuk segmen kediaman menjelang akhir tahun ini.

Pelanggan tidak perlu membuat sebarang bayaran pendahuluan kerana syarikat itu akan menanggung kos untuk membeli dan memasang solar PV.

Melalui perkhidmatan ditawarkan oleh GSPARX, pelanggan akan mendapat manfaat daripada penjimatan dan peluang perlindungan nilai. Pemasang pula akan mendapat manfaat daripada potensi perniagaan pemasangan solar PV.

Usaha itu ke arah merealisasikan sasaran kerajaan terhadap sumbangan tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak 20 peratus daripada kapasiti penjanaan di negara ini pada 2025.