TNB akan membeli tenaga sehingga 100 megawatt (MW) yang akan melalui grid penghantaran sedia ada Electricity Generating Authority of Thailand (EGAT), Thailand.

MoU tersebut mempunyai impak yang besar kepada pelaksanaan inisiatif Grid Tenaga ASEAN atau ASEAN Power Grid (APG) yang berusaha mewujudkan pengedaran bekalan tenaga elektrik menerusi APG.

Ia juga mencerminkan komitmen TNB untuk tenaga boleh diperbaharui atau Renewable Energy (RE) kerana tenaga yang akan dibeli dari EDL adalah dijana melalui stesen hidroelektrik.

TNB telah pun beberapa kali mengukuhkan komitmennya untuk menerajui sektor tenaga boleh diperbaharui melalui beberapa pembelian aset dan projek berkaitan RE.

Sebelum MoU dengan EDL dan EGAT, syarikat utiliti negara itu melancarkan pembinaan projek Solar Berskala Besar (LSS) yang pertama seumpamanya di Malaysia dengan pelaburan keseluruhan berjumlah RM348 juta di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat, Selangor pada 14 September lalu.

Projek LSS berkapasiti 50 MW tersebut akan dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuh TNB iaitu TNB Sepang Solar Sdn. Bhd.

Dengan keluasan 98 hektar, projek itu menjadi pemangkin aspirasi TNB dalam membangunkan projek-projek RE di Malaysia dan rantau ini.

Apabila siap pada November 2018, projek LSS akan menyediakan 200,000 keping panel solar sekali gus meningkatkan kapasiti penjanaan RE TNB daripada 23.2 MW kepada 73.2 MW.

Terdahulu, TNB secara usaha sama membangunkan stesen jana kuasa biomass di Jengka, Pahang bersama Felda; dua stesen janakuasa biogas di Layang-Layang, Johor dan Bagan Datuk, Perak bersama Sime Darby dan dua stesen jana kuasa biogas di Puchong dan Jeram, Selangor bersama Worldwide Holdings.

Di peringkat antarabangsa pula TNB telah mengambil alih aset RE keseluruhannya sebanyak 600 megawat (MW) di United Kingdom, Turki dan India.

Aset itu membabitkan portfolio utama bagi solar, angin dan hidro yang diambil alih sejak dua tahun lalu dalam usahanya memperkukuhkan segmen perniagaan RE di peringkat antarabangsa.

TNB juga disahkan oleh pejabat Kedutaan Malaysia di Arab Saudi, telah disenarai pendek dalam proses membida projek tenaga solar yang mampu menjana tenaga sehingga 300 MW.

TNB tidak berhenti setakat itu sahaja. Pada 2 Oktober lalu, TNB menandatangani MoU dengan pengendali sistem penghantaran terbesar di Eropah, Elia System Operator SA untuk kerjasama strategik perkongsian amalan terbaik dalam pembangunan kapasiti.

Perjanjian antara TNB dan Elia itu meliputi kerjasama dalam pengurusan aset, sistem rentas sempadan dan operasi pasaran, pembangunan grid, kajian rangkaian dan integrasi RE.

Tersenarai dalam bursa saham Euronext Brussels, Elia merupakan pengendali sistem penghantaran yang menyediakan perkhidmatan kepada 30 juta penduduk di Belgium dan Jerman Timur.

Ia memiliki talian voltan tinggi sepanjang 18,000 kilometer (km) merentasi Belgium dan Jerman, selain kapasiti terpasang dalam RE sebanyak 30,000 MW.

Ikatan TNB dengan Elia ini disambut positif oleh penganalisis yang menyifatkan pembabitan TNB dalam RE itu sejajar dengan Rancangan 10 Tahun TNB untuk memberi lebih tumpuan terhadap penyelesaian tenaga boleh diperbaharui termasuk membina grid pintar.

Firma PublicInvest Research dalam nota kajian 3 Oktober lalu, meletakkan saranan `outperform’ ke atas saham TNB atas keyakinan kolaborasi TNB dan Elia akan membantu meningkatkan kecekapan dalam sistem pengedaran tenaga di Malaysia.

Firma itu berkata, kesinambungan elektrik serantau di Eropah telah memberi manfaat daripada segi keseluruhan penurunan kos dan menambah baik jaminan pembekalan tenaga.

“Oleh itu kami yakin MoU ini akan membantu TNB menerusi pertukaran maklumat teknikal bagi menambah baik sistem pengedaran di Malaysia selain memastikan potensi keupayaan TNB untuk menjual tenaga yang dijana ke negara-negara ASEAN,’’ ujar firma itu.

Jelas dan nyata, sektor RE akan turut menjadi pemangkin TNB menjadi antara firma utiliti terbesar dunia daripada aspek permodalan pasaran menjelang 2025. Untuk itu, TNB sudah menyasarkan 20 peratus atau RM20 bilion pendapatan menjelang 2025 diraih daripada pelaburan luar negara.