Pengambilalihan dalam syarikat tenaga itu yang mengendalikan aset tenaga solar dengan gabungan berkapasiti bersih 365 megawat (mW) melibatkan nilai perusahaan sebanyak 470 juta pound (RM2.63 bilion).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd. menyifatkan pengambilalihan itu adalah satu peluang terbaik dalam usaha untuk membeli aset perniagaan tenaga solar yang besar di Britain.

Katanya, ia secara tidak langsung membantu TNB untuk membekalkan tenaga boleh diperbaharui (RE) yang merupakan sebahagian daripada langkah pengembangan kumpulan di peringkat antarabangsa setahun lebih awal daripada dijadualkan.

“Aset-aset ini adalah pelaburan terbaik yang akan memberi pendapatan segera dipertingkatkan dengan 80 peratus daripada perolehan dalam tempoh jangka panjang di bawah perjanjian pembelian tenaga selama 15 tahun dan Sijil Pematuhan Boleh Diperbaharui untuk 20 tahun akan datang,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

TNB meletakkan sa­saran dalam rancangan lima tahun untuk memperluaskan kedudukan di peringkat antarabangsa dengan mengambil alih sehingga 250 mW kapasiti bagi projek tenaga diperbaharui menjelang 2020.

Dengan pengambilalihan itu, portfolio tenaga diperbaharui antarabangsa milik TNB akan mempunyai gabungan berkapasiti bersih berjumlah 252 mW berikutan pengambilalihan dalam syarikat tenaga di India dan Turki pada tahun lalu.

Pengambilalihan itu adalah me­lalui Vortex Solar UK, anak syarikat tidak langsung usaha sama TNB, Vortex Solar Investments S.a.r.l. (Vortex), yang mengambil alih 100 peratus kepentingan dalam portfolio itu.

TNB memiliki pegangan 50 peratus dalam Vortex manakala 50 peratus lagi dimiliki oleh Beaufort Investments S.a.r.l.

Vortex Solar UK menandatangani Perjanjian Jual Beli pada Januari lalu dengan sebuah anak syarikat Terraform Power Inc. untuk membeli portfolio solar termasuk 24 ladang solar fotovoltaik, yang merupakan perniagaan tenaga solar ketiga terbesar di Britain.

TNB membiayai pengambil­alihan itu menerusi terbitan sukuk bernilai AS$750 juta (RM3.26 bi­lion) pada Oktober lalu.