Lim Tong Kang (dua dari kiri) bersama pasukannya berbangga menerima Anugerah Pengurusan Risiko Asia Pasifik 2017 di Singapura baru-baru ini.

Ketua Pegawai Risiko TNB, Datuk Ir. Lim Tong Kang berkata, anugerah berkenaan bagi menghargai usaha dan komitmen TNB terhadap pengurusan risiko walaupun sedang melalui proses perkembangan secara global.

“Anugerah ini juga menghargai usaha kami dalam pengenalpastian, penilaian dan pengurangan risiko sebagai salah satu nilai tambah terbaik kepada syarikat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tong Kang mewakili TNB menerima anugerah tersebut yang dilangsungkan di Singapura baru-baru ini.

Menurut Tong Kang, TNB turut diberi penghargaan bagi Program Risiko Usahawan Tahunan Terbaik dalam majlis anugerah yang sama.

Anugerah Pengurusan Risiko Asia Pasifik dianjurkan oleh StrategicRISK iaitu peneraju penyedia dan pemahaman mengenai risiko serta pentadbiran korporat di seluruh benua Eropah dan Asia.

Anugerah bagi menghargai komuniti dengan risiko terbaik itu juga merupakan anugerah paling berprestij bagi industri pengurusan risiko dalam rantau Asia Pasifik.

TNB adalah syarikat bekalan elektrik utiliti terbesar di Malaysia dengan perniagaan utamanya termasuklah menyediakan bekalan elektrik kepada perumahan, perniagaan dan industri seluruh negara dan menjadi penyumbang utama kepada pembangunan negara.