Menurut syarikat utiliti tersebut, TNB giat melaksanakan pelbagai program dalam meningkatkan infrastruktur teknologi dan sokongan supaya semua peringkat masyarakat menikmati manfaat daripada bekalan elektrik yang boleh dipercayai.

Katanya, antara program itu termasuk melaksanakan Infrastruktur Permeteran Canggih (AMI) melibatkan pemasangan 1.5 juta meter pintar yang dimulakan di bandar-bandar utama di kawasan berpusat.

Dalam masa sama katanya, syarikat juga membangunkan rangkaian fiber optik tambahan bagi meningkatkan tahap kese­lamatan dan kebolehpercayaan bekalan elektrik dan pemasangan lampu jalan diod pemancar cahaya (LED) yang cekap tenaga di bandar-bandar utama.

“Selain itu, TNB juga memba­ngunkan projek solar di 10 universiti awam dengan jumlah kapasiti 200 megawatt (mW) atau 20 mW setiap satu dan program pendidikan dengan peruntukan sehingga RM1 bilion bagi tempoh 2018 hingga 2022, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat TNB,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

Kerajaan hari ini mengumumkan kadar tarif elektrik di Semenanjung tidak akan dinaikkan hingga 31 Disember 2020 manakala kadar sedia ada kekal di Sabah dan Labuan selama enam bulan bermula Januari ini sehingga Jun 2018.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili berkata, bagi kedua-dua tempoh tersebut kadar tarif di Semenanjung kekal 38.53 sen setiap kilowatt-sejam (kWj) manakala 34.52 sen/kWj bagi Sabah dan Labuan.

Bagi tempoh enam bulan pertama 2018, kerajaan akan memberi rebat sebanyak 1.52 sen/kWj kepada semua pengguna dengan jumlah keseluruhan bernilai RM929.37 juta. Pengguna di Sabah dan Labuan juga akan menikmati rebat tarif elektrik sebanyak RM1.20 sen/kWj sepanjang tempoh tersebut.

Dengan keputusan itu, pengguna di Semenanjung tidak akan mengalami sebarang perubahan dalam bil elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2018, jika mereka mengekalkan penggunaan elektrik sedia ada.

Secara keseluruhan, kerajaan telah memberikan rebat berjumlah RM6.3 bilion kepada pengguna di Semenanjung bagi tempoh Mac 2014 hingga Jun 2018 dan RM1.631 bilion bagi pengguna di Sabah dan Labuan bagi tempoh Mac 2015 hingga Jun 2018.

Menurut TNB, mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) diluluskan kerajaan dan dilaksanakan sejak 1 Januari 2014 merupakan sebahagian daripada mekanisme kawal selia berasaskan insentif (IBR).

Katanya, mekanisme ICPT membolehkan TNB menzahirkan sebarang perubahan dalam kos jana kuasa dan bahan bakar bagi tarif elektrik setiap enam bulan, bergantung kepada keputusan dan kelulusan kerajaan.

“Kami juga ingin memaklumkan, pelaksanaan ICPT adalah neutral kepada TNB dan tidak memberi sebarang kesan kepada operasi perniagaan dan kedudukan kewangan,” katanya.