Shamsul Ahmad (kanan) menerima anugerah daripada Sanjayan Velautham di Manila, Filipina, baru-baru ini.

Anugerah itu diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) Ke-35 di Manila, Filipina yang berlangsung dari 25 hingga 29 September lalu.

Menurut TNB, anugerah yang diterima di bawah kategori Teknologi Arang Batu Bersih dengan kapasiti penjanaan melebihi 500 Megawatt (mW) merupakan pengiktirafan terhadap amalan terbaik TNB Janamanjung dalam teknologi dan penggunaan arang batu yang bersih.

“Berasaskan kapasiti tersedia 3,100 mW, TNB Janamanjung merupakan pengeluar tenaga bebas terbesar Semenanjung Malaysia.

“Ia terdiri daripada empat stesen janakuasa yang terletak di sebuah pulau buatan di Lumut, Perak,” jelas kenyataan itu di sini hari ini.

Pengarah Urusan TNB Janamanjung, Datuk Shamsul Ahmad menerima anugerah itu daripada Pengarah Eksekutif Pusat Tenaga ASEAN, Ir. Sanjayan Velautham di Pusat Konvensyen SMX, Pasay City, Manila.

Anugerah bagi kategori arang batu itu merupakan yang kedua bagi TNB Janamanjung selepas meraih anugerah yang sama pada 2013 sebagai pengiktirafan terhadap amalan terbaik dalam tanggungjawab korporat dan Pensijilan Spe­sifikasi Tersedia Umum (PAS) 55.

Baru-baru ini, stesen janakuasa TNB bernilai RM6 bilion yang berasaskan arang batu, Manjung 5 (M5) memulakan operasi tiga hari lebih awal daripada tarikh yang disasarkan iaitu 1 Oktober 2017.

Pembinaan M5 di Lumut, Perak mengambil masa 45 bulan dan stesen 1,000mW itu menggunakan teknologi ultra super kritikal, standard emas semasa untuk stesen berasaskan arang batu di dunia.