Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd. berkata, perjanjian antara TNB dan Elia itu meliputi kerjasama dalam pe­ngurusan aset, sistem rentas sempadan dan operasi pasaran, pembangunan grid, kajian rangkaian dan integrasi tenaga boleh diperbaharui (RE).

Katanya, kedua-dua pihak juga akan saling bertukar maklumat teknikal seperti melalui laporan tahunan, penyelesaian masalah, lawatan teknikal, lawatan belajar dan program-program latihan yang diperlukan.

Jelas beliau lagi, TNB telah mencadangkan 13 projek kerjasama di bawah MoU dua tahun tersebut yang boleh dipanjangkan untuk tempoh setahun lagi.

“Satu daripada projek kerjasama yang dicadangkan ini akan memberi manfaat kepada peranan TNB dalam inisiatif ASEAN Power Grid (APG) serantau,” katanya semasa pertukaran dokumen yang disaksikan oleh Duta Belgium ke Malaysia, Danial Dargent di sini hari ini.

Ucapan Azman dibacakan oleh Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman.

Tersenarai dalam bursa saham Euronext Brussels, Elia merupakan pengendali sistem penghantaran yang menyediakan perkhidmatan kepada 30 juta penduduk di Belgium dan Jerman Timur.

Ia memiliki talian voltan tinggi sepanjang 18,000 kilometer (km) merentasi Belgium dan Jerman, selain kapasiti terpasang dalam RE sebanyak 30,000 megawatt (mW).

Semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-35 di Manila baru-baru ini, satu kejayaan penting telah dicapai oleh APG apabila TNB, Lao’s Electricite du Laos (EDL) dan Thailand’s Electricity Generating Authority of Thailand (EGAT) menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (EPWA).