AZMAN MOHD.
AZMAN MOHD.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd. berkata, prestasi memberangsangkan itu didorong oleh nilai pertukaran asing yang lebih baik susulan pengukuhan nilai ringgit.

Katanya, ia menunjukkan pertumbuhan makroekonomi yang positif di Malaysia memberi manfaat kepada TNB dari segi permintaan elektrik.

“Lebih utama, kestabilan pendapatan kumpulan disokong oleh keberkesanan pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif.

“Kestabilan pendapatan adalah penting bagi memastikan TNB memiliki keupayaan untuk terus melabur dalam infrastruktur negara bagi memastikan kecekapan, keselamatan dan daya harap sistem,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Keuntungan operasi TNB bagi tempoh itu adalah sebanyak RM2.34 bilion yang akan memberi manfaat kepada pemegang saham menerusi aliran mampan pembayaran dividen pada masa depan serta keuntungan modal.

Perbelanjaan operasi (opex) TNB naik 6.3 peratus kepada RM9.66 bilion berbanding RM9.09 bilion yang direkodkan tempoh sama tahun sebelumnya.

Menurut Azman, opex yang tinggi disumbang terutamanya oleh kos penjanaan yang lebih tinggi daripada peningkatan kos bahan api

Walau bagaimanapun, katanya, melalui pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT), TNB kekal neutral daripada sebarang naik turun harga bahan api.

“TNB telah banyak melabur dalam perbelanjaan modal (capex) untuk dipadankan dengan keperluan kapasiti tenaga negara.

“Buat masa ini, terdapat tiga projek penjanaan dengan hampir 3,500 kapasiti megawatt (mW) dijangka beroperasi pada 2018 hingga 2020,” katanya.

Projek-projek penjanaan mewakili sebanyak 70.9 peratus daripada seluruh pelaburan capex TNB sebanyak RM3.71 bilion pada suku pertama tempoh berakhir Disember 2017.

Pelaburan itu juga mengukuh­kan kunci kira-kira kumpulan dengan jumlah aset asas meningkat kepada RM146.10 bilion pada 30 November 2017.