SHTech merupakan anak syarikat milik penuh Setia Haruman Sdn. Bhd., diperbadankan di Malaysia pada 11 Disember 1999 dan terlibat dalam perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat (IT).

Menurut TNB, pengambil­alihan tersebut dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman.

“Pengambilalihan ini adalah sejajar dengan inisiatif ‘Reimagining TNB’ untuk meneruskan pertumbuhan dalam penawaran perkhidmatan yang lengkap dan strategik.

“Di bawah inisiatif ini, TNB merancang untuk meneroka pelbagai perkhidmatan seperti Meter Pintar, Rumah Pintar, Bangunan Pintar, Industri Pintar dan Bandar Pintar,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada Disember 2017, TNB memaklumkan kepada Bursa Malaysia syarikat itu telah menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan syarikat induk Setia Haruman.

Susulan syarat perjanjian dipenuhi, TNB mengambil alih SHTech dengan modal saham terbitan RM1,000,002 yang terdiri daripada 1,000,002 saham biasa.

Jelas TNB lagi, anak syarikat baharu TNB itu, SHTech akan terus menjalankan perniagaan sedia ada sebagai penyedia perkhidmatan berkaitan IT.