Atas sebab itu, TM memulakan program Pembangunan Vendor Bumiputera (BVDP) sejak 1993 dan merupakan antara program yang berjaya setakat ini. Dalam tempoh itu, TM telah mengagihkan RM7.7 bilion nilai kontrak kepada syarikat bumiputera di bawah program itu. Bagaimanapun, Ketua Pegawai Perolehan TM, Mohamad Mohamad Zain memberitahu TM tidak terlepas berdepan dengan pelbagai dakwaan yang ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab terhadap usaha berkenaan. Beliau berkata demikian kepada wartawan Utusan Malaysia, ZUNAIDAH ZAINON.

 

UTUSANBIZ : Ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa TM dan GLC lain secara amnya tidak memberi peluang sewajarnya kepada usahawan bumiputera dalam melaksanakan sesuatu projek. Jika dapat pun, projek yang ditawarkan adalah yang berskala kecil atau bukan projek utama. Adakah dakwaan ini benar?

MOHAMAD: Dakwaan tersebut ternyata tidak benar. Kami telah melaksanakan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) melalui rangka kerja kerjasama tripartite di antara syarikat asing dan syarikat tempatan, justeru, memberi peluang kepada usahawan tempatan bekerjasama dengan syarikat asing.

Dengan cara itu, TM dapat memastikan penyertaan syarikat bumiputera dan pada masa sama membuka peluang kepada pemindahan teknologi yang tinggi melalui pendekatan yang sistematik.

Bagaimanapun, projek HSBB dan Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) adalah sebuah projek nasional maka kami perlu memastikan syarikat-syarikat yang terlibat memiliki kemampuan dan keupayaan yang diperlukan agar projek tersebut terlaksana dengan jayanya.

Apakah cabaran dihadapi TM dalam menjayakan misi memperkasakan usahawan bumiputera?

MOHAMAD: Kami menghadapi persaingan sengit dengan syarikat-syarikat lain, terutama syarikat-syarikat yang tidak mendokong agenda bumiputera. Dalam konteks ini, kami perlu seimbangkan kos operasi yang mapan dan pada masa sama memastikan agenda bumiputera dapat dipenuhi. Seperti dinyatakan tadi, ini berdasarkan pengalaman sesetengah GLC yang berhadapan masalah ketirisan disebabkan sebilangan usahawan bumiputera memberi subkontrak kepada golongan bukan bumiputera setelah mendapat kontrak daripada kerajaan dan GLC. Situasi ini sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan GLC kerana kos operasi akan meningkat tanpa memberi nilai tambah kepada bumiputera.

Sepanjang pelaksanaan program BVDP ini, apakah kekangan utama yang dihadapi syarikat bumiputera ini?

MOHAMAD: Isu paling utama ialah berkaitan kewangan para kontrakor yang mana kontraktor berskala kecil mempunyai masalah untuk mendapatkan dana bagi kos permulaan perniagaan sebagai kontraktor Rakan Pemasangan (RP) TM.

Untuk itu, TM telah mengadakan kerjasama dengan beberapa institusi kewangan bagi pembangunan perniagaan seperti Malaysia Building Society Bhd. (MBSB), Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan mereka telah bersetuju untuk menyediakan dana bagi membantu kontraktor membesarkan perniagaan.

Jadi, apakah yang boleh dilakukan bagi menambah baik usaha ini?

MOHAMAD: Banyak yang cuba kami lakukan bagi menambah baik usaha-usaha ini termasuklah usahawan bumiputera perlu mempunyai hala tuju dan visi yang jelas dalam bidang yang mereka ceburi. Usahawan bumiputera juga perlu melengkapkan syarikat mereka dengan kemampuan teknikal dan kewangan yang mantap bagi membina keyakinan syarikat-syarikat lain terhadap perniagaan mereka.

Dalam konteks ini, TM sentiasa menggalakkan vendor-vendor bumiputera untuk berganding bahu dan berkongsi kemahiran bagi mempertingkatkan dan menambah nilai penawaran mereka. Selain itu, kami juga memastikan vendor-vendor bumiputera yang berprestasi cemerlang diberikan platform yang setara.

Seiring dengan aspirasi TM sebagai peneraju konvergens, bagaimana syarikat bumiputera di bawah TM melalui proses transformasi ini?

MOHAMAD: Sebenarnya, vendor-vendor TM juga perlu melalui proses transformasi ini ke arah menjadi organisasi yang lebih pantas bertindak terhadap keperluan perniagaan dan pasaran. Malah, pelantikan kontraktor RP ini adalah sebahagian daripada Program Transformasi Vendor untuk mempertingkatkan keseluruhan ekosistem vendor ke arah melahirkan peneraju korporat bumiputera yang mantap dan berdaya tahan.

Melalui program BVDP sejak 1993, hampir 450 vendor telah menyertai program tersebut dan sebahagian daripada vendor yang dibangunkan itu berjaya meningkatkan keupayaan mereka daripada kontraktor penyelenggaraan kepada kontraktor pemasangan (daripada 43 RP yang ditawarkan kontrak, 20 vendor RP adalah daripada BVDP).

Untuk itu, TM akan terus komited untuk terus meningkatkan kapasiti dan kemahiran vendor serta kontraktornya menerusi Program Transformasi Ekosistem Tenaga Kerja (WEST) yang memberi fokus kepada transformasi kontraktor Penyelenggaraan dan Operasi Rangkaian. Usaha ini diharapkan dapat memperbaiki mutu perkhidmatan TM dan membolehkan para pelanggan menikmati pengalaman perkhidmatan yang lebih baik pada masa hadapan.