Lapasar merupakan platform perolehan perniagaan ke perniagaan (B2B) dalam talian yang dibangunkan oleh Tenderin, syarikat permulaan tempatan yang membolehkan TM membeli barang keperluan pejabat bagi operasi perniagaan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Bazlan Osman berkata, kerjasama itu menggambarkan keterbukaan dan kesanggupan TM untuk menyokong syarikat permulaan teknologi dengan bersama-sama menempuhi perjalanan mencuba dan memperhalusi rumusan dan inovasi digital.

Katanya, ini adalah antara usaha berterusan TM untuk mempertingkatkan operasi dan kecekapan termasuk proses perolehan dengan platform e-perolehan seperti Lapasar.

“Kami amat teruja untuk menjadi syarikat pertama di Malaysia yang mendapat manfaat daripada aplikasi ini. Kami juga telah berjaya mencatatkan tempoh kitaran yang lebih singkat untuk proses Pembelian-kepada-Pembayaran (Procure-to-Pay) dan Penghantaran sehingga 80 peratus dengan Lapasar.

“Dengan penggunaan Lapasar, pengeluaran penempahan pembelian (PO) dan kelulusan secara manual telah dihapuskan dan pembelian barangan bekalan dilakukan secara dalam talian dengan harga yang lebih murah justeru telah memberikan syarikat penjimatan yang ketara,” katanya dalam kenyata­an di sini hari ini.

Ketua Pegawai Digital TM, Ahmad Azhar Yahya dan Ketua Pegawai Perolehan TM, Mohamad Mohamad Zain menandatangani perjanjian usaha sama tersebut bagi pihak TM manakala Tenderin diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Thinesh Kumar dan Ketua Pegawai Operasi Tenderin, Lakshman Das sambil disaksikan oleh Bazlan.

Lapasar menawarkan aktiviti e-perolehan secara komprehensif untuk organisasi perniagaan seperti TM dengan menawarkan platform pembelian dalam talian dan menerusi aplikasi mudah alih.

Antara fungsi ditawarkan adalah membandingkan harga secara masa nyata dan bakul pembelian (shopping cart) serta fungsi daftar keluar (check out) yang biasanya digunakan di dalam pasaran perniagaan ke pelanggan (B2C).

Lapasar turut menawarkan TM dengan perolehan digital tanpa menjejaskan tadbir urus korporat, di samping meningkatkan kecekapan dan kemudahan operasi perolehan di dalam persekitaran yang terkawal.

TM adalah syarikat pertama di Malaysia yang menikmati pe­ngalaman dan manfaat daripada aplikasi ini dan inisiatif digital ini bakal meningkatkan produkti­viti anggota TM menerusi proses perolehan yang dipermudahkan dan lebih pantas.