Ketua Pegawai Eksekutif TM, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly berkata, meskipun terdapat 2.8 juta pot jalur lebar TM di seluruh negara, hanya satu juta yang digunakan sepenuhnya.

Katanya, TM memiliki baki 1.8 juta pot untuk dimanfaatkan yang mana satu pot boleh digunakan sehingga lapan orang untuk isi rumah.

“Selain itu, TM akan melancarkan perkhidmatan sewaan kotak jalur lebar pada Julai ini yang di­sa­sarkan kepada ibu bapa gene­rasi muda, pelajar dan golongan belia.

“Kami kini mempunyai liputan unifi bersepadu di seluruh negara yang merangkumi jalur lebar, mobiliti dan wifi. Setakat akhir 2017, TM mencatatkan jumlah pelanggan jalur lebar melebihi 2.3 juta orang,” katanya dalam sidang akhbar pembentangan prestasi kewang­an TM bagi tahun kewang­an 2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi TM, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob; Pengarah Eksekutif dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TM, Datuk Bazlan Osman dan Ketua Pegawai Kewangan TM, Nor Fad­hilah Mohd. Ali.

TM mencatat perolehan seba­nyak RM12.09 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 berikutan sumbangan hasil internet yang lebih tinggi.

Perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kumpulan berjumlah RM3.58 bilion, susut 5.6 peratus berbanding tahun lalu, disebabkan kos operasi yang lebih tinggi.

Keuntungan sebelum cukai kumpulan berjumlah RM1.05 bi­lion naik 14.1 peratus, berbanding RM918.5 juta tahun lalu.

Selari dengan polisi dividennya, kumpulan mengumumkan dividen tunai interim kedua satu peringkat sebanyak 12.1 sen sesaham atau RM454.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.