Naib Presiden Eksekutif Jualan Perusahaan TM, Wan Ahmad Kamal Wan Halim berkata, usaha itu mampu direalisasikan menerusi penyelesaian serta portfolio perkhidmatan bersepadu syarikat yang me­rangkumi lima teras produk.

Menurutnya, lima teras tersebut ialah sambungan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), penyumberan luar proses perniagaan (BPO), perkhidmatan pintar serta pusat data dan awan yang berperanan sebagai pemacu transformasi perniagaan digital.

“Penyelesaian dan perkhid­matan yang ditawarkan itu juga diyakini mampu meningkatkan pertumbuhan perniagaan dan membantu merealisasikan potensi pelanggan sepenuh­nya,” katanya selepas merasmikan TM Biz Fusion 2017, di sini hari ini.

Wan Ahmad Kamal berkata, keutamaan inovasi mereka melibatkan pengalaman pe­langgan, produktiviti dan daya saing terutamanya bagi model perniagaan: perniagaan ke perniagaan ke pengguna (B2B2C) selain memanfaatkan pusat kecemerlangan mobiliti, Webe.

Katanya, bagi terus menyokong pertumbuhan pelanggannya, Pusat Data Iskandar Puteri (IPDC) yang dibangunkan di atas kawasan seluas 30,000 kaki persegi sudah siap dibina, sekali gus mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan TM.

“Kami percaya dengan kedudukan strategik antara Kuala Lumpur dan Singapura, TM boleh menawarkan perkhidmatan terurus menyeluruh bernilai tinggi meliputi antaranya perkhidmatan sambungan dan pengkomputeran awan,” katanya.

Mengulas TM Biz Fusion 2017, beliau berkata, produk tersebut menyasarkan pelanggan perusahaan sederhana dan besar terutamanya dalam industri pembuatan, hospitaliti dan pengangkutan yang akan diadakan di empat lokasi lain selepas Johor.

Menurutnya, penganjuran itu akan mengetengahkan penyelesaian terhadap usaha untuk meningkatkan nilai perniagaan, memberi impak bagi keuntungan dan meningkatkan kecekapan pelanggan de­ngan ketara menerusi transformasi digital.