Ketua Pegawai Eksekutif TM, Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, perkara berkenaan akan direalisasikan melalui projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) merangkumi aspek Sinaran Tidak Mengion (NIR) dan pengetahuan, kelakuan dan kaedah (KAP) yang akan memberi fokus kepada pemantauan perubatan dan persekitaran pekerja TM.

Menurutnya, melalui penyelidikan yang dilakukan, keselamatan dan kesihatan pekerja akan menjadi lebih terjamin kerana mereka merupakan aset yang begitu penting bagi pengendalian operasi syarikat dalam memacu pertumbuhan cemerlang.

Katanya, inisiatif yang diambil oleh TM dan NIOSH itu merupakan antara pematuhan kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) yang menekankan tanggungjawab majikan dalam mewujud dan mengekalkan persekitaran tempat kerja yang lebih selesa dan selamat.

“Sebagai peneraju pasaran dan organisasi korporat, kami akan sentiasa mencari jalan terbaik untuk melaksanakan pelbagai kaedah ke arah meningkatkan kepuasan kakitangan supaya mereka gembira bekerja sekali gus mencatatkan peningkatan positif kepada syarikat,” katanya ketika berucap dalam majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoA) TM-NIOSH dan majlis pelancaran sambutan Hari Keselamatan TM peringkat kebangsaan 2015 di sini hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Modal Insan TM, Datuk Mohd. Khalis Abdul Rahim dan Pengarah Eksekutif NIOSH, Ir. Rosli Hussin.

Yang turut hadir, Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thyee; Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (DOSH), Abdul Kahar Husain dan Pengerusi TM, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob.