Pengarah-pengarah baharu tersebut adalah Datuk Asri Hamidin @ Hamidon, Datuk Mohd. Naim Daruwish, Hisham Zainal Mokhtar dan Saheran Suhendran.

Pelantikan itu susulan perletakan jawatan David Benello sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif yang berkuatkuasa pada tarikh sama.

TM turut mengumumkan pelantikan Farid Basir sebagai Ketua Pegawai Modal Insan (CHCO) baharu berkuatkuasa 1 Oktober lalu, mengambil alih jawatan yang sebelum ini dipangku oleh Suhaimi Sulong sebagai Pemangku CHCO sejak awal tahun ini.

Pengerusi Kumpulan TM, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob mengalu-alukan barisan pengarah dan CHCO baharu itu sebagai individu disegani yang akan mampu untuk membawa TM melangkah maju ke hadapan.

“Dalam kalangan Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan, mereka memiliki pengalaman luas dan kepakaran yang diperlukan dalam bidang masing-masing. Daripada pengurusan strategik, ekonomi, kewangan dan penstrukturan korporat hinggalah kepada bidang undang-undang.

“Ini memperkukuhkan lagi barisan kepimpinan TM sambil kami melangkah ke hadapan dengan transformasi berterusan kami. Saya berasa tidak sabar untuk berkhidmat bersama mereka dan amat menantikan mereka menyumbang pengetahuan serta kebijaksanaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sulaiman turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Benello atas segala nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan sepanjang tempoh beliau menjadi seorang pengarah di TM.

“Beliau telah berkongsi kepakarannya dalam industri telekomunikasi khususnya dalam strategi korporat dan ICT. Kami ucapkan semoga berjaya dalam apa jua yang beliau ceburi pada masa akan datang,” katanya.

Datuk Asri Hamidin @ Hamidon dilantik sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif mewakili Pemegang Saham Khas iaitu Kementerian Kewangan (Diperbadankan) dalam barisan Lembaga Pengarah.

Sementara itu, Datuk Mohd. Naim Daruwish juga dilantik sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif TM, mewakili kepentingan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai pemegang saham utama syarikat.

Hisham Zainal Mokhtar dan Saheran Suhendran pula masing-masing dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dalam Lembaga Pengarah TM. - UTUSAN ONLINE