Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Bazlan Osman berkata, kontraktor berkenaan bertanggungjawab bagi kerja-kerja pemasangan Perkhidmatan Talian Telefon dan Digital Pelanggan TM di seluruh negara dengan kontrak sah untuk tempoh lima tahun bermula 15 Disember 2016.

Katanya sebelum ini, TM turut melantik 23 Rakan Utama pada 2015 sebagai usaha ke arah mempertingkatkan Program Pemba­ngu­nan Vendor Bumiputera TM sedia ada kepada model Usaha Sama Strategik.

“Pelantikan kontraktor RP ini merupakan sebahagian daripada Program Transformasi Vendor kami yang bertujuan untuk mening­katkan keseluruhan ekosistem vendor ke arah melahirkan Peneraju Korporat Bumiputera yang berdaya tahan dan mampan selaras dengan agenda nasional,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kesemua kontraktor terbabit menerima Sijil Kontrak masing-masing dalam satu majlis yang turut dihadiri Ketua Pegawai Teknologi, Inovasi dan Pengalaman Pelanggan TM, Datuk Rafaai Samsi; Ketua Pegawai Perolehan TM, Mohamad Mohamad Zain dan Naib Presiden, Pengurusan & Operasi Rangkaian TM, Asmawati Yusof.

TM mula melaksanakan Program Pembangunan Vendor (VDP) sejak 1993 melibatkan hampir 450 vendor dan kemahiran mereka telah dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Selaras dengan cabaran perniagaan semasa yang semakin mencabar, TM kemudiannya me­laksanakan program transformasi, termasuk para kontraktor pemasangan bagi mempertingkatkan keseluruhan modal perniagaan pemasangan.

Bazlan berkata, pelantikan kontraktor RP tersebut merupakan manifestasi kerjasama dan gabungan kontraktor sedia ada bagi membentuk organisasi yang lebih besar untuk menangani saiz kontrak yang baharu diberikan.

“Modal perniagaan baharu ini dilaksanakan selepas beberapa interaksi dengan syarikat-syarikat utama, pemain industri serta pihak berkepentingan utama seperti Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) di bawah Jabatan Perdana Menteri serta Khazanah Nasional Berhad,” katanya.

Beliau memberitahu, sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Vendor, TM turut melancarkan Program Transformasi Ekosistem Tenaga Kerja (WEST), yang memberi fokus kepada transformasi kontraktor Penyelenggaraan dan Operasi Rangkaian.

“Program ini membolehkan mereka memperoleh kemahir­an yang lebih baik dan mening­katkan lagi proses kerja untuk manfaat semua pihak di dalam ekosistem berkenaan. Usaha ini diharapkan dapat memperbaiki mutu perkhid­matan dan membolehkan para pelanggan TM menikmati pengalaman perkhidmatan yang dipertingkatkan,” katanya.