Pengerusi TM, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob berkata, pusat data tersebut berfungsi sebagai hab serantau bagi pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat telekomunikasi itu.

Katanya, antara perkhidmatan itu merangkumi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) terurus, perkhidmatan Penyumberan Luar Proses Perniagaan (BPO), perkhidmatan awan dan sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi.

"Ini bagi memenuhi keperluan pelanggan perniagaan di Malaysia dan rantau ASEAN terutamanya untuk keperluan ekonomi digital negara yang semakin meningkat.

"Kami komited untuk menyediakan pelanggan kami dengan rumusan perniagaan yang canggih ditambah dengan khidmat sokongan pelanggan terbaik," katanya dalam majlis pelancaran Pusat Data Iskandar Puteri TM ONE di sini hari ini.

Yang turut hadir menyempurnakan majlis, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pusat data itu dibangunkan dengan kos hampir RM300 juta dan merupakan pusat data tahap tiga, iaitu yang tercanggih dalam negara ketika ini.

IPDC TM ONE itu merupakan satu prasarana utama yang dirancang Kumpulan TM dalam memenuhi jangkaan pertumbuhan permintaan yang pesat, dengan satu lagi pusat data sedang dibangunkan di Cyberjaya.