Affin Hwang Capital Research dalam nota kajian terkini menurunkan taraf TM serta memberi amaran pegangan pasaran pemain telekomunikasi itu boleh merosot kerana kemunculan pesaing baharu dalam pasaran jalur lebar.

Katanya, TNB akan membuat keputusan akhir sama ada untuk memasuki pasaran talian tetap atau jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) pada suku kedua tahun ini.

“Rangkaian gentian kelajuan tinggi TNB perlu menawarkan pilihan menarik kepada 1.1 juta pelanggan Streamyx TM, memandangkan peningkatan kelajuan dan harga langganan yang lebih rendah menjadi tarikan utama.

“Jika tidak, tawaran produk yang kompetitif daripada Ma­xis atau City Broadband boleh menarik 1.2 juta pelanggan Unifi TM,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Affin Hwang Ca­pital menurun taraf TM sehari selepas TNB melancarkan projek NFCP.

Di bawah projek perintis tiga bulan NFCP, beberapa pembekal perkhidmatan internet (ISP) akan menawarkan pakej jalur lebar kepada 1,100 pelanggan di Jasin, Melaka dengan menggunakan gentian optik TNB.

ISP yang mengambil bahagian termasuk Astro Malaysia Holdings Bhd., Celcom Axiata Bhd., City Broadband Sdn. Bhd., Digi.Com Bhd., Maxis Bhd. dan TIME dotCom Bhd.

Dalam nota berasingan, PublicInvest Research menyifatkan pelancaran pakej HSBB oleh ISP di bawah projek pe­rintis NFCP itu sebagai negatif kepada TM.

Pada masa ini, firma penyelidikan itu menjangka kesan tidak penting kepada ISP yang mengambil bahagian di dalam projek perintis NFCP itu.

“Ia masih tidak pasti sama ada TNB akan mampu melancarkan HSBB di tempat yang belum diterokai dan belum dihubungkan dengan rangkaian gentian sedia ada.

“Secara keseluruhan, kami yakin ia boleh membawa pertumbuhan perolehan yang berpotensi kepada TNB melalui penyewaan infrastruktur gentian, tetapi kesan pendapatan dijangka tidak signifikan kepada kumpulan,” katanya.