.

Kumpulan itu mencatatkan hasil yang stabil pada RM2.95 bi­lion bagi suku itu, 0.3 peratus lebih tinggi daripada RM2.94 bi­­lion pada suku sebelum ini, berikutan hasil data serta perkhid­matan lain berkaitan te­lekomunikasi yang lebih tinggi.

EBITDA dinormalisasi kumpulan, tidak termasuk perkara-perkara bukan operasi, mening­kat 13.1 peratus kepada pada RM930.9 juta.

Bagaimanapun, berikutan susut nilai aset-aset rangkaian tanpa wayar dan tetap, kumpulan mencatatkan kerugian sebelum faedah dan cukai (LBIT) RM631.8 juta bagi suku berkenaan.

Tidak termasuk susut nilai yang dilaporkan dan perkara-perkara bukan operasi yang lain, perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) dinormalisasi kumpulan berjumlah RM315.6 juta bagi suku itu, berkembang 39.4 peratus berbanding RM226.4 juta suku kedua tahun ini.

Berikutan itu juga, kumpulan mencatatkan kerugian selepas cukai dan kepentingan minoriti (LATAMI) RM175.6 juta berban­ding RM102 juta keuntungan se­lepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) pada suku sebelumnya.

Keuntungan bersih teras TM atau PATAMI Dinormalisasi, ti­dak termasuk perkara-perkara bu­kan operasi adalah RM266.4 juta, peningkatan 71 peratus berbanding suku sebelumnya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, kumpulan te­rus berdepan pelbagai cabaran daripada dinamik pasaran yang berdaya saing.

Bagaimanapun katanya, syarikat mengekalkan hasil sepanjang suku itu dan menyaksikan inisia­tif-inisiatif mengurangkan kos berjaya memberikan hasil, de­ngan mencatatkan prestasi operasi yang lebih baik bagi suku ke suku dan tahun ke tahun.

“Tetapi, susulan tekanan ber­terusan daripada cabaran industri dan pasaran serta kesannya kepada hasil kami setakat ini, kami telah mengambil pendekatan berhemat, dengan mengambil kira susut nilai aset-aset rangkaian kami yang membawa kepada kerugian susut nilai hampir RM1 bilion pada suku ini.

“Kami sedang merasionalkan perniagaan kami, mengurangkan kos-kos operasi dan memfokuskan sumber-sumber kami kepada peluang-peluang yang memberi impak paling ketara,” jelas Imri.

Beliau berkata, ketika ini, TM mempunyai 2.29 juta pelanggan jalur lebar dan jumlah pelanggan unifi terus meningkat kepada 1.26 juta setakat akhir suku ketiga itu berbanding 1.06 juta pada akhir suku sama tahun lalu.

“Dari sudut konvergens, kami dapat lihat semakin ramai pe­langgan beralih ke tahap rantaian nilai lebih tinggi dengan melanggan lebih daripada perkhidmatan tiga serangkai, seperti yang ditunjukkan oleh tahap penembusan konvergens kami yang kini 48 peratus daripada isi rumah TM berbanding 39 peratus pada tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Tambah beliau, cabaran kawal selia serta persekitaran pasaran pada masa ini telah memberi impak besar kepada jangkaan hasil dan perolehan Kumpulan TM secara keseluruhan bagi tahun kewangan ini.

Saham TM yang ditutup petang ini susut satu sen kepada RM2.320 sesaham de­ngan permodalan pasaran RM8.72 bilion.