Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya Land Bhd., Lim Poh Yit berkata, bagi keuntungan sebelum cukai dan selepas cukai bagi suku yang dinilai, masing-masing menunjukkan keuntungan sebanyak RM25.6 juta dan RM18.2 juta.

Katanya, ia merupakan peningkatan sebanyak 19.2 peratus dan 16.4 peratus masing-masing dalam keuntungan sebelum dan selepas cukai berbanding dengan suku yang sama pada tahun kewangan yang lepas.

“Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, kunci kira-kira kumpulan menunjukkan prestasi cemerlang dengan jumlah ekuiti sebanyak RM435 juta dan tunai bersih RM49.8 juta membolehkan syarikat untuk menambahkan lagi bank tanahnya.

“Lonjakan dalam pendapatan yang disumbangkan itu merupakan daripada margin kasar yang lebih tinggi dicapai pada suku tahun yang dinilai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Poh Yit, Titijaya juga kini mempunyai portfolio projek pembangunan hartanah yang akan dibangunkan dengan jumlah anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM6.7 bi­lion.

Ujarnya, mereka kini berada di paras kedudukan cemerlang dan menjangkakan pendapatan yang baik bagi tahun kewangan sama turut disokong oleh jumlah jualan hartanah bagi separuh pertama tahun kewangan sebanyak RM275 juta.

“Titijaya turut mencatatkan peningkatan jualan belum dibil daripada RM579 juta dari tahun kewangan berakhir 30 Jun 2014 hingga RM700.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015,” katanya.

Bagi tahun kewangan yang sama, Titijaya telah melancarkan projek pembangunan kediaman berkembar, Emery Kemensah di Ulu Kelang dengan GDV sebanyak RM97.9 juta dan fasa ketiga taman inovasi di Klang dengan GDV sebanyak RM69 juta.