Presiden Persatuan Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid berkata, setakat ini, ekuiti patuh syariah hanya merangkumi 30 peratus daripada keseluruhan modal pasaran yang berjumlah RM1.9 tri­lion setakat 31 Disember 2017.

“Ini hanya merangkumi dua atau tiga sahaja ekuiti yang patuh syariah. Dari sudut perbankan Islam, kita berharap syarikat-syarikat kewangan akan menjadi lebih patuh syariah dengan menggunakan produk patuh syariah supaya portfolio mereka boleh ditingkatkan.

“Dengan lebih banyak ekuiti pa­tuh syariah, ini memboleh­kan institusi pelaburan yang besar di negara ini meningkatkan pelaburan mereka sekali gus mampu memberi pulangan lebih baik kepada para pelabur,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

KWSP Sabtu lalu, mengisytiharkan kadar dividen 6.90 peratus bagi Simpanan Konvensional 2017 dengan jumlah agihan dividen sebanyak RM44.15 bilion dan 6.40 peratus bagi Simpanan Syariah, dengan agihan dividen RM3.98 bi­lion. Ia membabitkan keseluruhan agihan dividen bagi 2017 sebanyak RM48.13 bilion, peningkatan 29.8 peratus berbanding 2016.

Mohd. Redza yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Muamalat Malaysia Berhad berkata, walaupun pulangan syariah adalah rendah berbanding konvensional, namun ia antara prestasi pulangan syariah yang terbaik berbanding pelaburan lain.

Beliau berkata, antara faktor yang mendorong pulangan konvensional lebih tinggi disebabkan sektor perbankan pada tahun lalu mencatat pulangan lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelum dengan kebanyakan ekuiti dalam sektor perbankan adalah saham konvensional.

“Satu lagi faktor ialah pelaburan KWSP di luar negara yang turut mencatat pulangan baik memandangkan ketika itu ringgit adalah rendah dan ekonomi di luar negara pula berkembang dengan baik. Tetapi pulangan ini mungkin tidak kekal kerana pada ketika pelaburan dibuat ringgit berlegar antara RM4.20 hingga setinggi RM4.40 berbanding ketika ini, ringgit lebih kukuh sekitar RM3.90.

“Untuk prestasi pelaburan syariah pada tahun pertama, bagi saya, ia prestasi yang cukup membanggakan jika dibandingkan de­ngan pelaburan-pelaburan lain. Berbanding Tabung Haji mahupun pulangan Amanah Saham Bumiputera (ASB), KWSP mempunyai kira-kira 40 peratus atau lebih aset pelaburan dalam sukuk kerajaan dan ini menjadikan risiko adalah sifar manakala selebihnya dalam sukuk-sukuk syarikat dan ekuiti di Bursa Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar pernah membangkitkan me­­­ngenai isu saham-saham atau instrumen ekuiti patuh syariah yang kurang dalam sektor perkhid­matan kewangan dengan hanya tiga syarikat yang tersenarai iaitu BIMB Holdings, Takaful Malaysia dan Malaysia Building Society Bhd. dengan jumlah nilai pasaran sebanyak RM15 bilion.

Nilai tersebut kurang daripada lima peratus jumlah kesemua nilai pasaran bank dan syarikat kewang­an di Bursa Malaysia. Pada masa sama, terdapat banyak dana patuh syariah yang perlu melabur dalam saham perkhidmatan kewangan patuh syariah. Selain PNB, KWSP juga memiliki sejumlah RM59 bi­lion dana syariah yang dijangka meningkat kepada RM100 bilion tidak lama lagi.

PNB kini dalam usaha memenuhi keperluan tersebut dengan mengkhususkan sebahagian daripada saham di bank-bank Malaysia (seperti Maybank, CIMB dan RHB) yang mempunyai perniagaan kewangan Islam yang besar sebagai saham ‘Islamik’ atau Saham ‘I’ dan berharap ia dapat direalisasikan tahun ini.

Sementara itu, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) berharap langkah itu dapat direalisasikan bagi menggalakkan lebih banyak institusi perbankan Islam disenaraikan di Bursa Malaysia pada masa hadapan termasuk penyenaraian entiti perbankan Islam secara berasingan.

CEO KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, ini membolehkan pelabur seperti KWSP mencatat pulangan syariah yang lebih baik kepada para pelabur memandangkan ketika ini lebih banyak saham sektor perbankan yang disenaraikan adalah tidak patuh syariah.

Presiden dan CEO Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, pencapaian KWSP itu jelas prestasi sangat baik memandangkan kadar faedah global yang masih rendah daripada apa yang dianggap ‘normal’.

Dalam pada itu, Ketua Penasihat Pengurusan Bisnes, Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM), Razli Ramli berkata, kadar dividen syariah KWSP pada 6.4 peratus adalah lebih baik jika dibandingkan dengan kadar dividen KWSP dalam tempoh 10 tahun sejak 2007 hingga 2016 hanya mencatat purata pada 5.91 peratus.

Di Malaysia ujar beliau, hanya dua daripada 33 saham perbankan yang patuh syariah dan apabila lebih banyak saham perbankan yang diapungkan di Bursa Malaysia adalah patuh syariah, tidak mustahil prestasi pulangan ini akan lebih baik pada masa hadapan berban­ding konvensional.

“Bagi saya pulangan syariah dan konvensional adalah setanding cu­ma keuntungan syariah adalah ku­rang sedikit kerana KWSP membuat sebahagian pelaburan dalam syarikat telekomunikasi dan minyak dan gas yang mana prestasi saham-saham syarikat ini kurang memberangsangkan berbanding pelaburan dalam sektor kewang­an,” katanya.