Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, pihaknya akan membuat laporan polis dan mengemukakan laporan kepada jawatankuasa tatatertib CIDB sekiranya ada pihak yang terlibat didapati melakukan kesalahan.

Menurut beliau, amaran tersebut dikeluarkan berikutan terdapat laporan bahawa beberapa syarikat pembinaan mengemukakan dokumen dan maklumat palsu semasa berurusan menggunakan Sistem Pengurusan Maklumat Setempat CIDB (CIMS).

“Kami telah menerima dua kes pemalsuan dokumen yang membabitkan urusan levi dan pendaftaran kontraktor.

“Tindakan sedemikian jelas merupakan satu jenayah dan kesalahan ini tertakluk di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu CIDB mengingatkan agar kontraktor dan personel binaan agar bertanggungjawab terhadap sebarang maklumat yang dikemukakan kerana pihaknya sentiasa menjalankan audit dari semasa ke semasa, kata beliau.

Katanya, orang ramai boleh merujuk garis panduan CIMS di http://cimsapp.cidb.gov.my bagi mengetahui senarai semak dokumen yang diperlukan untuk berurusan dengan CIDB.

“Sila hubungi CIDB Careline di 1-300-88 (2432) atau cawangan negeri terdekat untuk sebarang pertanyaan serta pengesahan,” ujarnya.