Wan Zulkifli

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, strategi kedua adalah bagi mengembangkan perniagaan teras untuk memperluas rantaian nilai perniagaan.

Katanya, Petronas sedang mencari pendekatan baharu sebagai contoh pihaknya melihat potensi untuk terlibat di dalam segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) seperti solar dan tenaga baharu yang lain.

Jelas beliau, Petronas telah melaksanakan pelbagai inisiatif strategik untuk berdepan dengan kejatuhan harga minyak dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kami melihat perge­rakan tunai, penyam­paian projek, proses yang me­-
mudahkan, kajian semula pembangunan ba­-
kat, teknologi dan pa­ling penting budaya organisasi.

“Meskipun berdepan persekitaran mencabar, Petronas berjaya memastikan penyampaian projek termasuk Sabah Ammonia dan Urea (Samur) di Sipitang, Sabah,” katanya dalam wawancara bersama Bloomberg TV di sini hari ini.

Wan Zulkiflee yang menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland berkongsi pandangan beliau mengenai prospek harga minyak, strategi Petronas dan cabaran masa depan.

Beliau menekankan tiga dimensi apabila mempertimbangkan prospek harga minyak termasuk bekalan, permintaan dan spekulasi.

Tambahnya, letupan saluran paip minyak terbesar di Libya menjejaskan pengeluaran negara anggota Pertubuhan Negara-Ne­gara Pengeksport Petroleum (OPEC) itu.

“Permintaan masih baik di peringkat glo­bal dan kami menjangka ini berterusan dalam beberapa tahun akan datang, bagaimanapun peningkatan pengeluaran minyak syal di Amerika Syarikat (AS) bakal memberi kesan ke atas harga.

“Petronas juga akan terus memantau kejadian yang berlaku di Asia Barat, Korea Utara dan negara lain di dunia yang boleh memberi kesan kepada harga minyak mentah global,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Zulkiflee menjangkakan tiga cabaran utama yang boleh memberi kesan kepada Petronas termasuk keperluan bakat untuk menerajui operasi syarikat.

“Cabaran kedua adalah harga minyak dan ketiga ialah dalam pembangunan RE berbanding bahan api fosil,” jelasnya.