AHMED RAZMAN ABDUL LATIFF
AHMED RAZMAN ABDUL LATIFF

Pensyarah Kanan Putra Business School, Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ini kerana kesemua CEO itu dilantik berdasarkan kelayakan profesio­na­lisme dan pengalaman masing-masing yang secara dasarnya tidak terlibat dalam mana-mana agenda politik.

Katanya, jika kerajaan mahu merombak pentadbiran sesebuah organisasi, tumpuan harus diberikan kepada ahli lembaga pengarah dan bukannya terhadap lantikan profesional seperti CEO memandangkan lantikan politik biasanya diletakkan di peringkat lembaga pengarah syarikat milik kerajaan (GLC) bagi memudahkan sebarang arahan dikeluarkan daripada kerajaan.

“Dalam konteks Khazanah ini, Tan Sri Azman Mokhtar sendiri memegang jawatan sebagai Pe­ngarah Urusan ketika zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri tetapi apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan, beliau tidak menukar siapa peneraju Khazanah.

“Malah, kita juga tahu ahli lembaga pengarah Khazanah juga terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang masing-masing. Dengan membenarkan kesemua mereka mele­takkan jawatan serentak akan menyebabkan tiada kesinambungan kepada dasar-dasar dan hala tuju pelaburan Khazanah pada masa hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hari ini, Khazanah mengesahkan semua sembilan ahli lembaga pengarah termasuk Azman meletakkan jawatan bagi memudah cara peralihan yang lancar dan teratur oleh kerajaan baharu. Turut berada dalam senarai tersebut termasuklah Datuk Seri Nazir Abdul Razak, yang juga Pengerusi CIMB Group.

Portfolio pelaburan Khazanah sangat meluas merangkumi sektor pendidikan, tenaga, kesihatan, pelancongan, infrastruktur dan pembinaan, kreatif, inovasi dan teknologi, agromakanan dan pengangkutan serta logistik.

Ketika Bursa Malaysia ditutup 5 petang ini, saham syarikat-syarikat berkaitan Khazanah ditutup bercampur-campur yang menyaksikan Axiata Berhad susut 17 sen kepada RM4.27, Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) susut tujuh sen kepada RM9.030 dan Telekom Malaysia Berhad susut dua sen kepada RM3.85.

M.MANOKARAN
M.MANOKARAN

Bagi Tenaga Nasional Berhad pula, meningkat 22 sen kepada RM15.10, IHH Healthcare Bhd. meningkat tiga sen kepada RM6 dan Astro Malaysia Holdings Bhd. kekal tidak berubah pada RM1.81.

Menurut beberapa penganalisis ekonomi, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang merupakan Timbalan Pengerusi Khazanah sebelum meletakkan jawatan tersebut pada 30 September 2017 akan kembali menerajui ahli lembaga pengarah tersebut sekiranya pelantikan baharu dibuat.

Sementara itu, Ketua Penganalisis Ekonomi Alliance Bank, M.Manokaran berkata, keputusan sembilan ahli lembaga pengarah Khazanah itu meletakkan jawatan akan menimbulkan ‘kejutan sementara’ kerana belum ada kepastian daripada kerajaan.

“Tetapi pastinya tumpuan kini tertumpu kepada siapa yang akan mengisi kedudukan lembaga pe­ngarah baharu ini, adakah ia sama bagus atau sebaliknya.

“Namun keadaan kini sangat tidak menentu kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku, apatah lagi kerajaan tidak memberi sebarang kata putus berhubung keputusan mereka meletakkan jawatan ini,” katanya.