Selagi perniagaan mereka tidak berkembang, selagi itu mereka masih belum bersedia untuk menggaji jumlah pekerja yang sepatutnya, dan selagi itu juga beberapa tanggungjawab lain perlu dipikul oleh mereka walaupun tangan yang ada hanya dua. Yang penting, kebajikan dan kepenti­ngan para pelanggan perlu dijaga dengan baik untuk mereka kembali membeli berkali-kali.

Memandangkan mereka tidak juga sempat untuk membuat apa jua strategi dengan terperinci, apa yang bakal terlintas di fikiran mereka tentang pemasaran digital akan terus dibuat tanpa berfikir panjang. Jadi, apakah jenis pemasaran yang boleh dilakukan dengan berkesan tanpa mengeluarkan modal yang banyak?

Biasanya mereka tiada masa dan tiada juga wang. Mereka tidak mempunyai modal yang besar untuk apa jua bentuk pemasaran tetapi amat-amat memerlukan hasil daripada pemasaran. Oleh itu, pertimbangkan kaedah yang praktikal ini,

Kekalkan pelanggan yang ada dahulu.

Langkah ini akan menstabilkan jualan bulanan anda. Mulakan dengan mengurangkan ego anda sebagai seorang bos dan turun ke bawah untuk beramah mesra dengan pelanggan yang datang. Berkenalan dengan mereka. Ingat nama mereka, suami dan isteri serta anak-anak mereka. Kenalkan kepada keluarga anda. Jadikan mereka kenalan anda. Kunjungi mereka ketika waktu kenduri dan sertai mana-mana aktiviti sosial dengan mereka untuk rapatkan silaturahim. Daripada pelanggan kepada rakan, ini yang perlu anda lakukan.

Dapatkan pelanggan baharu daripada pelanggan yang ada.

Apabila perhubungan tadi menjadi rapat, rasa percaya terhadap satu sama lain akan menjadi lebih kuat lagi. Mereka juga mempunyai rakan yang lain, dan lama-kelamaan rakan-rakan mereka turut akan menjadi rakan anda juga. Mungkin di media sosial ataupun secara fizikal. Ini lumrah manusia, ekosistem rakan kita akan sentiasa berkembang tanpa kita sedari. Akan tiba satu masa nanti, pelanggan yang sedia ada tadi yang juga rakan anda akan membawa rakan mereka ke kedai anda, dan secara langsung ini menjadikan mereka pelanggan anda yang baharu.

Dapatkan pelanggan baharu yang anda tidak kenal.

Orang sentiasa mencari apa jua benda di internet untuk keperluan harian atau apa jua sebab. Seperti biasa, mereka akan menggunakan enjin pencarian Google untuk ini. Jadi perniagaan mahu tidak mahu, perlu mempunyai satu laman web. Sama ada berbayar atau percuma, terpulang kepada anda tetapi ia perlu ada. Dengan adanya laman web, sesiapa juga yang mencari anda pasti akan berjumpa dengan laman web anda terlebih dahulu. Sedikit kajian dan pembacaan tentang anda akan dilakukan terlebih dahulu di sana. Setelah mereka yakin dengan jenama anda, mereka akan melihat pula aktivi­ti anda di media sosial. Apabila mereka sedikit percaya dengan anda, pasti mereka akan datang. Proses ini akan mengambil masa sedikit tetapi ia amat berkesan dengan kehadiran laman web anda dan juga aktiviti-aktiviti anda di media sosial yang aktif.

Berikan pengalaman yang manis.

Produk berkualiti tinggi, harga tidak terlalu mahal dan perkhidmatan yang baik. Kombinasi ini biasanya akan memberikan pengalaman amat manis kepada sesiapa sahaja yang menjadi pelanggan anda.

Guna media sosial untuk berinteraksi sahaja.

Jangan bermain dengan promosi, promosi dan promosi sahaja di media sosial. Ia perlu digunakan untuk tujuan yang boleh merapatkan perhubungan peribadi anda dengan pelanggan dan rakan yang ada. Mereka tahu apa kerja anda dan apa yang anda jual, jadi tidak perlulah anda ingatkan mereka setiap masa. Apabila tiba saat dan ketikanya nanti, mereka pasti akan ke kedai anda untuk mencuba produk dan perkhidmatan yang anda sediakan.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital. Ikuti pandangan beliau di azleen.com