Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pe­lantikan itu dibuat kerana Proton meyakini kebolehan dan pengalaman yang dimiliki Chunrong dalam bidang automotif.

Tegas beliau, kerajaan ti­dak campur tangan kerana perkara tersebut merupakan urusan perniagaan Proton yang dibuat bersama oleh Ahli Lembaga Pengarah DRB-Hicom Berhad.

“Siapa sahaja dilantik sebagai CEO tidak perlu jadi isu asalkan perniagaan itu diterajui individu terbaik. Apa yang penting, beliau mampu membawa Proton ke tahap lebih tinggi kerana industri automotif kini semakin mencabar dan global.

“Chunrong mempunyai 30 tahun pengalaman dalam beberapa syarikat automotif dan pemilihan ini dibuat oleh syarikat DRB-Hicom yang sudah pasti mahu pulangan selepas modal besar yang mereka laburkan dalam Proton,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat Program Usahawan Jeli di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini hari ini.

DRB-Hicom dan Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. (Geely) mengumumkan melantik Chunrong sebagai CEO baharu PONSB menggantikan Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkuat kuasa hari ini.

Beliau dilaporkan berpenga­laman 30 tahun dalam industri automotif dan pernah bekerja dengan jenama automotif utama antarabangsa seperti Honda, Kia dan Dongfeng dalam pelbagai jawatan tertinggi.

Dalam perkembangan lain, Mustapa memberitahu, Karnival Usahawan dan Pekerjaan Ke­lantan 2017 berte­makan Jom Pa­kat Niaga dan Cari Kerja akan berlangsung pada 5 dan 6 Oktober ini di RTC Tunjong.

Beliau ber­kata, kar­nival ter­sebut dianjurkan oleh agensi Wilayah Eko­nomi Pantai Timur (ECER) dan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.

“Kita anggarkan 5,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada pengunjung khususnya golongan muda dan dijangka antara 40,000 dan 50,000 pe­ngunjung hadir ke karnival ini,” katanya.