Semasa menghadiri mesyuarat Kerjasama Lancang-Mekong di Hainan, China minggu lepas, Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayuth Chan-o-cha mengumumkan yang Bangkok akan melabur sepenuhnya dalam projek HSR itu, tanpa China sebagai rakan kongsi.

Perbincangan dengan China buntu kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan ke atas beberapa isu, iaitu kadar faedah pinjaman dari Beijing untuk projek itu dan desakan China untuk mendapatkan hak eksklusif bagi memajukan tanah di sepanjang jalan kereta api berkenaan.

Jurucakap kerajaan, Mejar Je­neral Sansern Kaewkannerd dalam kenyataan berkata, keputusan Prayuth agar Thailand sahaja melabur dalam projek HSR tanpa China, dibuat berdasarkan kepentingan negara.

“Perdana Menteri membuat keputusan itu berdasarkan kepentingan nasional untuk ketika ini dan masa depan,” katanya mengenai projek HSR sepanjang 870 kilometer itu yang akan menghubungkan Bangkok ke Nong Khai di Laos yang dianggar melibatkan kos RM50 bi­lion.

Menurut Sansern, walaupun mengetepikan Beijing sebagai rakan kongsi, Perdana Menteri akan terus mengambil kontraktor China, selain menggunakan teknologi kereta apinya untuk projek berkenaan. Ia juga akan terus dirujuk sebagai projek Keretapi Laju Sino-Thai.

Berikutan pengumuman untuk melabur sepenuhnya dalam projek mega berkenaan, kerajaan berkata, keseluruhan projek HSR akan diperkecilkan dan jaraknya dipendekkan kepada 350 kilometer menghubungkan hanya Bangkok dan Nakhon Ratchasima.

Menurut kerajaan, kereta api HSR akan bergerak pada kelajuan 250 kilometer sejam dan sebahagian besar perkhidmatan itu adalah untuk mengangkut penumpang.

Keputusan kerajaan untuk menjadi pelabur tunggal telah mengundang kritikan daripada bekas Perdana Menteri, Abhisit Vejajiva yang menggesa agar projek itu dikaji semula, dengan mendakwa projek yang diperkecilkan itu tidak bolehdijustifikasi dari segi ekonomi.

Dalam sepucuk surat kepada Perdana Menteri dan disiarkan media, pemimpin Parti Demokrat itu berkata, kewajaran kewangan dan ekonomi projek itu boleh terhakis secara mendadak kerana kereta api HSR hanya akan bergerak untuk jarak yang jauh lebih pendek antara Bangkok dan Nakhon Ratchasima.

Tanpa sebarang sambungan dengan kereta api laju yang dirancang China dari Kunming ke Nong Khai di Laos, HSR Thailand tidak akan mencapai unjuran penumpang tahunan untuk menjadikan projek itu berdaya maju dari segi ekonomi, katanya.

Menurut Abhisit, Kementerian Pengangkutan meramalkan HSR dari Bangkok ke Nong Khai pada peringkat awalnya akan menarik 7.5 juta penumpang setahun serta 20 juta penumpang dalam jangka panjang.

“Andaian ini mungkin tidak berdaya maju di bawah pelan baru kerajaan agar ia berkhidmat sehingga ke wilayah Nakhon Ratchasima sahaja (dari Bangkok) tanpa sebarang sambungan dengan kereta api laju China,” katanya.

Dalam satu komentar akhbar harian Thai berbahasa Inggeris, The Nation, beberapa hari lalu, Ko­lumnis Nophakun Limsamarnphun berkata, adalah lebih baik pada pe­ringkat ini negara itu memberi tumpuan bagi melaksanakan sistem jalan kereta api berkembar daripada melaksanakan HSR.

Sistem jalan kereta api berkembar, katanya, adalah baik untuk hubungan dengan negara jiran dan menggesa agar projek HSR itu dilaksanakan pada satu tarikh lain kemudian.

Dengan hanya 20,000 penum­pang dijangka menggunakan kereta api HSR Bangkok-Ratchasima setiap hari, perkhidmatan itu akan mengalami kerugian besar untuk beberapa tahun akan datang, katanya.

Nophakum juga menggesa kerajaan membuka projek HSR itu untuk bidaan antarabangsa kerana ia adalah pelabur tunggal projek ber­kenaan.

Sementara itu, Menteri Kewa­ngan, Apisak Tantivorawong dipetik sebagai berkata, pelaburan kerajaan dalam projek yang di­perkecilkan itu akan dikurangkan dengan banyak daripada kira-kira RM30 bilion kepada kira-kira RM17 bilion.

Ketika kesan daripada keputusan kerajaan untuk menjadi pelabur tunggal projek HSR itu belum dirasai, pegawai Thai yakin perjanjian yang dibuat lebih awal untuk menjual beras dan getah ke China tidak akan terjejas.

Menteri Perdagangan, Apiradi Tantraporn ketika bercakap kepada media baru-baru ini berkata, keputusan mengenai projek HSR tidak mempunyai kesan ke atas perjanjian mengenai beras dan getah dengan Beijing kerana Thailand kekal komited kepada penggunaan teknologi kereta api China.

Dalam perjanjian yang dimeterai sebelum ini di antara Thailand dan China, Bangkok akan menjual dua juta tan metrik beras dan 200,000 tan metrik getah kepada China. 
– BERNAMA