Pengarah Urusan Kumpulan TH Properties, Datuk Roszali Othman berkata, perumahan mampu milik itu merupakan pembangunan kedua di Negeri Sembilan selepas satu projek di Bandar Enstek.

Menurut beliau, Warisan Puteri 2 adalah pembangunan kediaman bercampur dengan nilai pembangunan RM400 juta meliputi kawasan seluas 42.7 hektar yang merupakan fasa terakhir bandar satelit Warisan Puteri.

"Kita akan membina sebanyak 336 buah rumah mampu milik dengan pembinaan setiap rumah adalah seluas enam meter x 18 meter di bawah harga RM80,000 yang akan dimulakan pada tahun 2019. 

"Pembinaan rumah ini bagi menyokong Dasar Perumahan Negeri Sembilan yang mahu menambah bilangan rumah jenis itu dan memastikan golongan berpendapatan sederhana dan rendah mempunyai keupayaan memiliki kediaman," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan kunci kepada 10 pembeli rumah teres Sutera di Wa­risan Puteri 2 di sini kelmarin.

Penyerahan replika kunci di­sempurnakan Pengerusi Kumpulan TH Properties, Datuk Mohzani Dr. Abdul Wahab.

Dalam pada itu, Roszali memberitahu, rumah teres dua tingkat, Sutera dan Eliya yang turut dibangunkan di Warisan Puteri 2 masing-masing dilancarkan pada 2016 dan tahun lalu.

Beliau memaklumkan, sebanyak 89 unit rumah teres Sutera dijual di bawah harga RM400,000 manakala 99 unit Eliya dijual bermula pada harga RM454,300.