Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia semalam, DRB-Hicom berkata, TH membeli 750,000 saham syarikat ber­kenaan daripada pasaran terbuka pada 2 Mac, diikuti satu juta lagi pada 3 Mac.

DRB-Hicom baru-baru ini melaporkan keuntungan sebelum cukai RM422.33 juta pada suku ketiga berakhir 31 Disember 2016 berbanding kerugian sebelum cukai RM147.15 juta dicatat dalam suku yang sama 2015.

Pendapatannya meningkat kepada RM3.43 bilion berbanding RM3.33 bilion sebelum ini.

Jelasnya, sektor kereta adalah penyumbang utama kepada pendapatan, dirangsang oleh pelbagai pelancaran oleh anak syarikat kumpulan berkenaan, Proton Holdings Bhd.

Saham DRB-Hicom menjadi tumpuan dalam beberapa bulan kebelakangan ini berikutan berita mengenai usahanya mencari rakan kongsi strategik untuk bekerjasama dengan Proton.

Pencarian kumpulan itu dijangka berakhir menjelang separuh pertama tahun ini, jelasnya. – BERNAMA