Selain selari dengan aspirasi kerajaan, program hasil usaha Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) itu telah membawa pelbagai manfaat kepada negara.

Bagi masyarakat tempatan terutama golongan usahawan, program tersebut telah menjadi satu daripada pemangkin utama kepada mereka untuk turut menyumbang kepada transformasi ekonomi di sekitar wilayah ber­kenaan.

Peluang itu dimanfaatkan Pe­ngasas MGV Industries Sdn. Bhd., Zakaria Jusoh menerusi syarikat minumannya yang berkembang pesat menjadi sebuah perniagaan bernilai jutaan ringgit dengan liputan dalam dan luar negara.

Biarpun bermula dari sebuah rumah kedai pada tahun 1991, syarikat itu kini mempunyai kapasiti pengeluaran 4.5 juta liter air sebulan dalam pelbagai jenis minuman sedia diminum, dan bersedia ke peringkat seterusnya.

“Sepanjang 20 tahun bergelar usahawan, saya telah melalui pelbagai fasa dalam turun dan naik perniagaan, dari segi jumlah jualan tahunan syarikat serta cabaran-cabaran lain berkaitan dengan masalah pengeluaran.

“Ia juga termasuk cabaran kualiti produk. Namun begitu, setiap cabaran seperti itu saya anggap sebagai peluang untuk memperbaiki mana-mana kelemahan dalam syarikat dan perniagaan yang saya terajui,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Zakaria memberitahu, MGV Industries menerima bantuan Dana Mudahcara kali pertama bernilai RM3.22 juta pada tahun 2015 sebagai bantuan kerajaan bagi menampung kos pembelian mesin dan pengubahsuaian kilang.

Ujar beliau, syarikatnya turut menerima bantuan Dana Mudahcara kali kedua sebanyak RM6.17 juta pada tahun 2017 bagi mendapatkan mesin buatan Eropah untuk menghasilkan produk yang menepati spesifikasi global.

“Bantuan dana dua kali yang diterima daripada inisiatif program [email protected] ini telah membolehkan kami untuk meningkatkan produktiviti produk, melalui mesin yang lebih berkualiti untuk menghasilkan produk.

“Selain itu, sokongan juga melibatkan aspek memudahcarakan urusan dengan agensi kerajaan serta syarikat lain yang sangat bermanfaat kerana ia meningkatkan rangkaian dan peluang pasaran dengan meluas,” ujarnya.

Tambah Zakaria, dia berhasrat untuk mengembangkan syarikat dengan pendapatan lebih tinggi mencecah RM100 juta setahun menjelang tahun 2020, serta meningkatkan 40 peratus eksport minuman ke pasaran serata dunia.

Sementara itu, bantuan Dana Mudahcara itu turut membantu Ahmad Zubir Azhari untuk mengembangkan syarikat perkhidmatan pengangkutan lori tangki petroleumnya, ZHA Pengangkutan Sdn. Bhd. (ZPSB) dengan lebih pesat.