Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan/ Usahawan Teraju, Megat Mohd. Yatim Megat Hamid berkata, daripada jumlah itu lebih 50 peratus usahawan telah berjaya membangun dan mengkomersialkan produk mereka.

Katanya, kesemua usahawan tersebut telah melalui pelbagai peringkat penilaian sebelum berjaya membawa idea ke pasaran.

“Ada di antara mereka bermula pada peringkat idea kemudian dinilai kebolehpasaran produk berkenaan. Selepas itu, idea akan dikembangkan menjadi prototaip dan kami akan memberi bantuan mengikut keperluan para usahawan.

“Majoriti pemenang adalah dalam sektor teknologi selain pendidikan, kesihatan dan pertanian,” katanya dalam majlis pelancaran Teraju Superb MOD Challenge di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Motosikal dan Enjin Nasional (Modenas), Amirudin Abd. Kadir dan Pengarah Eksekutif Motonation, Mohd. Nazrul Zahri.

Megat Mohd. Yatim menambah, pihaknya telah mengenal pasti enam sektor baharu yang berpotensi dan perkara itu masih dalam perbincangan.

Menurut beliau, program mini Superb dengan kerjasama rakan penganjur akan berada di setiap negeri dan koridor ekonomi negara.

“Antaranya Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Sabah dan Sarawak. Kami mahu mencungkil bakat dan kemahiran secara menyeluruh dan apabila digabungkan akan memberi impak yang lebih positif.

“Selain itu, peruntukan RM30 juta dalam Bajet 2018 lalu juga akan digunakan untuk melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera yang mencakupi pelbagai sektor perniagaan,” ujarnya.